WASHINGTON – Israel dan Lubnan mengadakan pusingan rundingan baharu di Washington hari ini, di mana Beirut merancang memohon gencatan senjata yang akan tamat dalam masa beberapa hari lagi, dilanjutkan selama sebulan.
“Lubnan akan meminta lanjutan gencatan senjata selama sebulan, penamatan pengeboman dan kemusnahan oleh Israel di kawasan ia berada, dan komitmen kepada gencatan senjata,” kata seorang pegawai Lubnan kepada AFP
Presiden Lubnan, Joseph Aoun berkata semalam bahawa ‘komunikasi sedang dijalankan untuk melanjutkan tempoh gencatan senjata’.
Lubnan dan Israel yang secara rasmi berperang selama berdekad-dekad, mengadakan pertemuan di Washington pada 14 April lalu, rundingan pertama seumpamanya sejak 1993, sebagai usaha untuk menamatkan perang lebih enam minggu antara Hezbollah dan Israel.
Amerika Syarikat mengumumkan gencatan senjata 10 hari sejurus selepas pertemuan pertama, dan ia dijadualkan tamat Ahad ini.
Menteri Luar Israel, Gideon Saar berkata semalam bahawa Israel tidak mempunyai sebarang ‘perselisihan serius’ dengan Lubnan.
“Halangan kepada keamanan dan normalisasi ialah satu — Hezbollah,” kata Saar.
Serangan Israel ke atas Lubnan sejak beberapa minggu lalu membunuh sekurang-kurangnya 2,454 orang dan menyebabkan sejuta orang hilang, demikian menurut pihak berkuasa Lubnan. – AFP














