ALOR SETAR – Seorang lelaki yang maut dalam kemalangan di Kilometer (KM) 16.5 Lebuh Raya Utara Selatan arah selatan dekat Napoh, Changlun, dekat sini semalam sempat mencampak anaknya berusia empat tahun sebelum digilis treler.
Kemalangan kira-kira pukul 10.50 malam itu mengorbankan Mohd. Azrie Faiz Abdullah, 32, yang membonceng motosikal ditunggang isterinya berusia 31 tahun.
Isteri mangsa, Alis Natiesha Mohd. Radzif, 31, mengalami kecederaan di kaki dan tangan kanan, manakala anak mereka luka di kepala, jari tangan serta kaki kanan.
Menurut adik Alis Natiesha, Alia Nadia, 29, kakaknya memberitahu, suaminya sempat mencampak anak mereka, Putera Yusuf Matin, 4, ke tepi jalan sejurus motosikal mereka dilanggar treler tersebut.
Katanya, andai abang iparnya tidak berbuat demikian, insiden berkenaan mungkin mengorbankan kanak-kanak berkenaan.
“Kakak cerita bila kena langgar, arwah terus campak Yusuf ke tepi jalan. Kalau tidak tentulah sekali dengan anak dia kena gilis.
“Kakak yang mengandung enam bulan selamat kerana tercampak di kanan jalan. Syukur Alhamdulillah, kandungannya juga selamat.
“Namun dia terpaksa menjalani pembedahan kerana kaki kirinya di bahagian tumit hancur,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah di sini semalam.
Alia Nadia memberitahu, kejadian berlaku ketika tiga beranak itu dalam perjalanan pulang ke rumah di Taman Warisan, Guar Chempedak selepas berbuka puasa bersama keluarga di rumah adik mereka, Mohd. Rafeal, 26, di Napoh.
“Mereka keluar dulu, manakala kami lewat sikit. Ketika dalam perjalanan kami dihubungi kakak yang menjerit meminta tolong sambil memaklumkan abang (Mohd. Azrie ) kena gilis dengan treler.
“Kakak juga beritahu Yusuf tercampak ke tepi jalan dan tiada orang tolong,” ujarnya.

Bercerita lanjut katanya, Mohd. Azrie berubah menjadi seorang yang pendiam dan bersikap menjauhkan diri.
“Dia seorang yang ceria dan peramah tetapi semalam dia diam dan bersikap menyendiri. Selepas berbuka dia tidak bersembang apa pun terus duduk jauh dari kami sekeluarga.
“Sebelum ini juga arwah ada cakap tahun ini dia tak rasa mahu sambut Aidilfitri, baju raya pun dia tak mahu beli, pakai yang ada saja, kami tak sangka itu petandanya,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Rodzi Abu Hassan berkata, siasatan awal mendapati pemandu treler berusia 48 tahun bersama kelindannya yang berusia 45 tahun dan motosikal berkenaan bergerak dari arah sama iaitu dari Changlun menghala ke Jitra.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, treler terbabit dipercayai memotong motosikal yang berada di hadapan dengan bergerak ke tengah jalan.
“Sebaik hampir selesai memotong secara tiba-tiba pemandu treler perasan bahawa kenderaannya berlanggar dengan motosikal dinaiki tiga beranak itu pada bahagian tayar belakang menyebabkan ketiga-tiga mangsa jatuh di tempat kejadian.
“Akibat kemalangan itu, wanita yang menunggang motosikal itu dan anak lelaki mengalami kecederaan dihantar ke Hospital Jitra untuk menerima rawatan manakala suaminya disahkan maut di tempat kejadian.
“Pemandu dan penumpang treler tidak mengalami kecederaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.
Kejadian itu menyebabkan kesesakan sejauh dua kilometer. -KOSMO! ONLINE














