fbpx

Malaysia Airlines syarikat penerbangan komersial rasmi Manchester United

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
IZHAM (empat dari kiri) pada majlis mengumumkan kerjasama bersama Manchester United di Kuala Lumpur, hari ini.

PETALING JAYA – Dalam langkah penting untuk meningkatkan jangkauan global, Malaysia Airlines hari ini menandatangani perkongsian strategik berbilang tahun dengan kelab bola sepak Manchester United sebagai Syarikat Penerbangan Komersial Rasmi.

Melalui perkongsian itu, Malaysia Airlines bersedia untuk meluaskan Hospitaliti Malaysia yang terkenal kepada komuniti Manchester United yang mempunyai lebih 1.1 bilion peminat di seluruh dunia, dengan memanfaatkan inisiatif pemasaran jenama bersama kepada khalayak global.

Pada acara sama yang diadakan di MATTA Fair 2024, Malaysia Airlines turut mengumumkan pelancaran penerbangan ke tiga destinasi baharu iaitu Malé, Maldives (MLE), Da Nang, Vietnam (DAD) dan Chiang Mai, Thailand (CNX).

Syarikat penerbangan itu akan menyediakan sambungan yang dipertingkatkan dari hab utamanya di Kuala Lumpur dengan penerbangan terus baharu ke MLE, DAD dan CNX dengan tiket tersedia untuk dijual bermula 22 Mac 2024.

Malaysia Airlines akan memulakan penerbangan hariannya ke MLE mulai 1 Ogos 2024; penerbangan harian ke DAD bermula 24 September 2024 dan penerbangan lima kali seminggu ke CNX bermula 15 Ogos 2024.

Pada masa sama, syarikat penerbangan itu turut memperkenalkan tempat duduk Kelas Perniagaan dan Kelas Ekonomi A330neo baharunya sebagai sebahagian daripada pelan pemodenan armadanya, menjelang penghantaran pesawat pertama dijadualkan pada suku tahun ketiga 2024.

Pengarah Urusan Kumpulan Malaysia Aviation Group (MAG), Datuk Izham Ismail berkata, Malaysia Airlines telah melalui perjalanan yang sukar sepanjang dekad yang lalu, namun selepas melalui semuanya, daya tahan syarikat kekal teguh.

“Setelah menstabilkan kunci kira-kira dan merekodkan prestasi tahun kewangan yang paling kukuh sejak sedekad yang lalu, kami kini berada dalam kedudukan yang lebih kukuh untuk mengarahkan tumpuan ke arah mempercepatkan pelaburan dalam penyampaian produk dan perkhidmatan untuk meningkatkan pengalaman pelanggan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI