fbpx

4,752 kawasan penduduk tidak daftar Padu, Selangor tertinggi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Rafizi

PUTRAJAYA – Sebanyak 4,752 kawasan di seluruh negara dikenal pasti penduduknya tidak mempunyai sebarang pendaftaran Pangkalan Data Utama (Padu) mahupun apa-apa program bantuan kerajaan yang disediakan sebelum ini.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, Selangor mencatatkan bilangan kawasan tertinggi iaitu 1,282 kawasan diikuti Kuala Lumpur (992), Sarawak (765), Sabah (620), Johor (271), Pulau Pinang (243) dan Kelantan (228).

Ia turut melibatkan Kedah dengan 157 bilangan kawasan belum mendaftar, diliputi Pahang (70), Perak (67), Terengganu (35), Negeri Sembilan (lapan), Perlis (tujuh), Putrajaya (lima) dan Melaka (dua).

Katanya, sebanyak 5.43 juta individu telah mengemaskini data Padu sejak ia dilancarkan pada 2 Januari lepas.

“Dalam konteks pelaksanaan Padu, pengemaskinian oleh rakyat atau rekod pentadbiran individu divisualisasi sehingga di peringkat lokaliti.

“Di antara contoh kawasan adalah seperti lokaliti Projek Perumahan Rakyat, Perumahan Awam, Kondominium, Pangsapuri, Rumah Kos Rendah, Kuarters, Rumah Kedai, Rumah Air, Panjang dan Rumah Sesebuah.

“Penelitian pengemaskinian Padu di peringkat lokaliti ini akan menjadi input untuk memastikan semua kawasan diliputi, mempunyai perwakilan dan tidak berlaku keciciran,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Rafizi berkata, penduduk-penduduk di kawasan-kawasan ini walaupun dikenalpasti dari kalangan B40 dan B60 namun mereka tidak mempunyai data dalam apa-apa pangkalan data bantuan kerajaan sebelum ini.

“Penduduk di lokaliti ini berisiko tercicir daripada menerima ataupun dilibatkan dalam apa-apa program atau bantuan kerajaan yang akan datang,” ujarnya.

Jelas beliau, tumpuan kementeriannya dan pasukan Padu dalam tempoh dua minggu ini hingga hari terakhir adalah mempertingkatkan pendaftaran individu dan isi rumah, terutama meliputi kawasan dikenal pasti berisiko terbesar pengecualian.

Dalam pada itu, beliau meminta agar kerajaan negeri mengambil langkah sama iaitu mengumpulkan wakil-wakil penduduk dari kawasan berisiko tinggi keciciran untuk menggalakkan pendaftaran Padu penduduk kawasan tersebut. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI