KEJAYAAN luar biasa Filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan dan Pendekar Awang: Darah Indera Gajah yang masing-masing ditayangkan di layar perak pada tahun 2022 dan Januari lalu telah menyemarakkan semangat sebahagian rakyat Malaysia untuk mendalami sejarah kehebatan pahlawan terdahulu.
Selain adegan persilatan dan pertarungan menggunakan senjata tradisional oleh pejuang tanah air, peranan ulama, pemimpin dan sultan dalam penentangan terhadap British turut meninggalkan kesan mendalam terhadap para penonton.
Terengganu yang merupakan antara lokasi bersejarah yang menjadi kubu penentangan pahlawan terhadap British tersebut turut menerima tempias sekali gus memberi impak positif terhadap segmen industri pelancongan Islam di negeri Pantai Timur tersebut.
‘Demam’ filem-filem tersebut juga telah menyebabkan kehadiran pengunjung yang menziarahi makam-makam ulama terkenal di Terengganu semakin meningkat sejak dua tahun lalu.
Mengikut data Muzium Negeri Terengganu, terdapat 19 makam ulama dikenal pasti berada di seluruh negeri tersebut iaitu 14 makam di daerah Kuala Terengganu, Hulu Terengganu (empat) dan satu di Dungun.
Seorang penonton dua filem tersebut, Muhammad Nor Yuzaidi Mohd. Said, 25, mengakui selama ini dia kurang cakna dengan kehebatan pahlawan silam yang banyak berjuang untuk kemerdekaan negara walaupun banyak tinggalan tersebut berada di depan mata.
Pemuda yang menetap di Kampung Telaga, Hulu Terengganu berkenaan berkata, semangatnya untuk menerokai sejarah lama kembali membara setelah menonton filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan pada dua tahun lalu.
“Sebenarnya daerah Hulu Terengganu yang saya huni memiliki banyak makam pahlawan dan ulama terkenal seperti Tok Gajah iaitu bapa Mat Kilau dan Syarif Muhammad Al-Baghdadi yang merupakan pendakwah Islam pertama di Terengganu.
“Memang saya pernah melawat makam Tok Gajah dalam rombongan sekolah rendah, namun saya tidak begitu kisah tidak mengenali secara mendalam siapa tokoh berjasa tersebut,” ujarnya kepada Panorama baru-baru ini.
Muhammad Nor Yuzaidi memberitahu, dirinya semakin tersentak apabila gagal mengingati lokasi makam Tok Gajah apabila ditanya rakan-rakannya yang menetap di luar Hulu Terengganu.
Cerita lelaki itu, momen tersebut kemudiannya mendorong dia menziarahi makam Tok Gajah di Kampung Pasir Nering, Hulu Terengganu buat kali kedua selepas itu.
“Saya sebak menziarah makam Tok Gajah kerana mengenangkan perit getir perjuangan pahlawan zaman dahulu mempertaruhkan nyawa dan darah demi mendaulatkan agama, bangsa dan nusa.
“Sejak itu, saya merakamkan setiap perjalanan saya menziarahi makam ulama dan pahlawan serta lokasi bersejarah lain khususnya di Terengganu ke dalam media sosial seperti YouTube dan Facebook.
“Seterusnya saya berhasrat menziarahi makam Tok Pauh, Kubur 12 Pahlawan Perang Padang Kachung, monumen Batu Bersurat Terengganu, tinggalan Haji Abdul Rahman Limbong dan banyak lagi lokasi bersejarah ulama dan pahlawan zaman dahulu terdapat di negeri ini,” katanya.
Muhammad Nor Yuzaidi berkata, lokasi-lokasi bersejarah itu perlu dipulihara dan diketengahkan kerana memiliki nilai tinggi dalam aspek pelancongan Islam dan sejarah buat Terengganu.

Sementara itu, Penyelaras Makam Tok Pulau Manis, Mohamad Embong berkata, kebanyakan pengunjung yang menziarahi makam Tok Pulau Manis atau nama sebenarnya
Syarif Abdul Malik Syarif Abdullah merupakan pelajar sekolah pondok, madrasah atau tahfiz dari seluruh Nusantara merangkumi Indonesia, Brunei, Singapura dan Thailand.
Beliau berkata, Syarif Abdul Malik merupakan ulama yang memainkan peranan penting dalam pemerintahan Sultan Terengganu pertama, Sultan Zainal Abidin I.
“Menjadi tradisi pelajar sekolah pondok, madrasah atau tahfiz untuk menziarahi makam ulama dan menghayati sejarah golongan yang mengarang kitab-kitab turath seperti Tok Pulau Manis yang terkenal dengan kitab Hikam.
“Kami penduduk Kampung Pulau Manis, Kuala Terengganu mengambil inisiatif membuka galeri yang memaparkan maklumat tentang Tok Pulau Manis,” ujarnya.
Mohamad berkata, mereka juga menyediakan tentatif lawatan kepada pengunjung termasuk sambutan daripada waris ulama terbabit.
Setiausaha Kehormat Persatuan Sejarah Malaysia Kawasan Dungun, Wan Mohd. Rosli Wan Ngah pula berkata, kubu Mat Kilau yang terletak di Padang Jerangau, Kampung Pasir Raja, Hulu Dungun turut menjadi tumpuan peminat sejarah dari seluruh negara.
Beliau berkata, kubu tersebut lambang kemegahan warisan bangsa kesan perjuangan pahlawan Mat Kilau menentang penjajah British pada lewat 1890-an.
“Kemahiran ikhtiar hidup dalam hutan serta ilmu berkaitan perubatan (menggunakan herba dan tumbuhan hutan) untuk merawat luka membolehkan mereka bertahan dalam tempoh lama sepanjang perjalanan mendapatkan perlindungan daripada pemimpin Terengganu ketika itu,” terangnya.
Wan Mohd. Rosli berkata, ramai berminat untuk melihat sendiri kubu yang pernah menjadi tempat perlindungan dan pertahanan Mat Kilau bersama para pengikutnya serta mengatur strategi kembali menyerang penjajah.
Ujar beliau, selain penyelidik sejarah dan penuntut universiti, peminat sukan rekreasi juga sering menjadikan lokasi ini sebagai ekspedisi bagi menjejaki semula laluan Mat
Kilau yang berasal dari Kampung Bantal terletak di Ulu Tembeling Jerantut, Pahang.
“Bagaimanapun, ketiadaan infrastruktur dan akses laluan masuk yang sempurna ke kubu itu menyebabkan ia sukar dikunjungi kecuali menggunakan kenderaan pacuan empat roda.
“Sehubungan itu, saya berharap pihak bertanggungjawab dapat melakukan sesuatu bagi menjadikan kubu tersebut sebagai destinasi pelancongan sejarah Islam dalam ekspedisi menjejak laluan Mat Kilau yang semakin popular sejak akhir-akhir ini,” katanya.














