JERANTUT – Pengguna Jalan Kuala Tahan ke Ulu Tembeling di sini ibarat bertaruh nyawa setiap kali berselisih dengan lori membawa muatan balak berlebihan yang dikhuatiri akan terbalik ketika melalui kawasan selekoh.
Kejadian lori balak terbalik dikatakan sering berlaku hingga meresahkan pengguna terutama di kawasan jalan sempit antara Ulu Tembeling- Kuala Tahan-Padang Piol ke bandar Jerantut.
Seorang penduduk Tembeling Tengah, Zamri Mat Amin berkata, kejadian terbaharu berlaku kelmarin apabila sebuah lori balak terbalik di satu selekoh menghala ke bandar Jerantut.
“Saya dan pengguna lain terpaksa mengambil laluan bertentangan dan kadang-kadang keadaan lebih sukar apabila kayu balak melintang di tengah jalan selepas lori terbalik.
“Kejadian mungkin berlaku kerana pemandu membawa balak berlebihan dan tidak dipandu dengan berhati-hati di kawasan selekoh,” katanya ketika ditemui di sini.
Menurut Zamri, walaupun belum ada pengguna lain yang cedera atau meninggal dunia akibat dihempap kayu balak tetapi situasi itu menimbulkan ketakutan dan keresahan kepada mereka.
“Kita berharap pihak berwajib memantau pemandu dan pemilik lori balak khususnya melebihi had muatan selain cara pemanduan mereka,” katanya.
Dalam pada itu Penduduk Ulu Tembeling, Mustapha Abdullah berkata, fenomena pembalakan dan lori membawa keluar balak sudah berlaku lebih dua dekad.
“Kami kerap bertembung dengan kejadian lori balak terbalik di jalan utama Jerantut-Kuala Tahan-Ulu Tembeling. Lebih risau bila bertemu di kawasan sempit,” katanya.
Menurut Mustapha, keadaan itu bukan sahaja merisikokan keselamatan pengguna jalan raya tetapi menyebabkan banyak berlaku kerosakan di jalan terbabit.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jerantut, Superintendan Azman Mat Kamis berkata, pihak polis tidak teragak-agak mengambil tindakan kepada pemandu kenderaan yang gagal mematuhi peraturan jalan raya ditetapkan.
“Polis menasihatkan pemilik atau pemandu lori termasuk pengusaha pembalakan supaya jangan membawa muatan balak melebihi had muatan dan lebih bertimbang rasa terhadap keselamatan pengguna jalan raya lain,” ujarnya.















