fbpx

Kerajaan peruntuk RM15 juta naik taraf sekolah-sekolah ATM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohamed Khaled . -Foto FARIZ RUSADIO / KOSMO!

KUALA LUMPUR – Kerajaan bersetuju memperuntukkan sebanyak RM15 juta bagi tujuan penyelenggaraan dan naik taraf sekolah-sekolah Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, peruntukan yang disalurkan melalui Kementerian Pendidikan (KPM) itu akan memberi manfaat kepada 29 buah sekolah-sekolah rendah dan menengah termasuk sebuah Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di dalam kem-kem Angkatan Tentera di seluruh negara.

“Kita percaya bahawa kebajikan serta pendidikan berkualiti adalah perkara yang harus menjadi sebahagian daripada fokus utama Kementerian Pertahanan.

“Anggota-anggota kita yang senantiasa sedia dan setia mempertaruhkan nyawa kepada negara, tidak seharusnya dibebankan untuk turut memikirkan aspek kebajikan diri dan keluarga mereka,” katanya ketika berucap di Perbarisan Tahunan Putera Maktab Tentera Diraja (MTD), Kem Perdana Sungai Besi di sini hari ini.

Sementara itu, Mohamed Khaled menegaskan Kementerian Pertahanan komited dalam membangunkan satu ekosistem pendidikan dan kebajikan yang lengkap dalam ATM.

“Kerajaan tidak kisah untuk berbelanja kira-kira RM21 juta setiap tahun untuk MTD termasuklah emolumen pegawai, guru dan kakitangan.

“Segala keperluan dan kebajikan sepanjang dua tahun berada di sini, kerajaan memperuntukkan sebanyak kira-kira RM27 ribu bagi seorang penuntut MTD,” katanya.

Mohamed Khaled berkata, pihaknya melalui yayasan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dengan kerjasama Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) akan memulakan program Penabungan PTPTN kepada pelajar Tahun 1 anak-anak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dari kumpulan Anggota Lain-Lain Pangkat mulai tahun ini.

“Program yang dikenali sebagai Simpanan Pendidikan Madani (SPM) ini akan melibatkan sumbangan tabungan ke dalam akaun SSPN kepada 9,355 anak-anak ATM Tahun 1 bagi sesi Persekolahan 2024 dengan jumlah keseluruhan bernilai RM467,750,” ujarnya.

Terdahulu, seramai 219 pelajar Maktab Tentera Darat menamatkan pengajian di MTD dalam Majlis Perbarisan Tahunan Putera Maktab Tentera Diraja yang dirasmikan Menteri Pertahanan.

Perbarisan Tahunan Putera Maktab Tentera Diraja bagi tahun ini meraikan pelajar bagi sesi akademik 2023.

Menurut Mohamed Khaled, MTD mempunyai makna, mandat dan matlamat tersendiri dan penubuhannya adalah agenda nasional yang penting.

“Kita mengesan dan menggilap bakat-bakat terbaik untuk disemai dengan iltizam dan minat, bagi menyertai ketumbukan pertahanan negara serta memberikan sumbangan bermakna kepada negara dalam pelbagai lapangan.

“Berbekalkan segala ilmu dan kemahiran yang diberikan, baik dari aspek akademik mahupun ketenteraan, kita mengharapkan para putera MTD akan meneruskan kesinambungan pengajian dan kerjaya yang mendukung kepentingan negara, khususnya dalam sektor pertahanan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI