fbpx

Nafiez Zaidi simpan jambang untuk kelainan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PELAKON Nafiez Zaidi kini selesa dengan imej berjambang untuk tampil dengan kelainan.

KUALA LUMPUR – Pelakon Nafiez Zaidi menafikan tindakannya menyimpan jambang pada wajah kerana ada kaitan dengan kisah putus cintanya bersama bekas kekasih yang juga pelakon, Fify Azmi.

Nafiez atau nama lengkapnya Abdul Nafis Abduzaidi ketika ditemui berkata, dia sengaja menyimpan jambang kerana mahu kelihatan berbeza berbanding imejnya sebelum ini dan selesa dengan penampilan baharunya itu.

“Tak ada kaitan pun (putus cinta). Saya mula simpan jambang sejak tujuh bulan lalu. Sejak tampil dengan imej begini, ramai yang tidak mengenali saya.

“Kalau keluar mana-mana pun, kawan-kawan tidak perasan,” katanya kepada Kosmo! Online.

Ujar pelakon berusia 32 tahun itu lagi, imej berjambang itu juga bukan disebabkan dia terlibat dengan karakter tertentu dalam lakonan, sebaliknya hanya mahu kelihatan berbeza berbanding imejnya sebelum ini.

“Saya saja simpan jambang bukan sebab terikat dengan watak dalam lakonan. Memang saya simpan (jambang) untuk nampak berbeza.

“Sebab selalunya imej saya dalam lakonan nampak sama sahaja. Jadi apa salahnya saya tampil dengan imej begini.

“Mana tahu kalau ada rezeki lain selepas ini, saya boleh pelbagaikan rupa dan imej saya. Saya boleh cukur kalau perlu dan kembali dengan imej asal,” katanya.

Walaupun suka dengan imejnya berjambang, pelakon filem Malbatt: Misi Bakara memberitahu ibunya tidak begitu menyukai dengan penampilannya itu kerana tidak biasa melihat wajahnya dipenuhi bulu.

“Ini kali pertama saya tampil dengan imej berjambang, walaupun ibu saya sendiri tidak suka sebenarnya. Dia kata tak biasa lihat saya dengan imej begini.

“Sebab arwah bapa saya sendiri pun tidak ada jambang. Tapi sampai masa nanti, kalau perlu saya cukur, saya akan cukur juga. Cuma sekarang, ini memang penampilan baharu saya,” jelasnya.

Dalam pada itu, Nafiez yang ditemui semasa pelancaran program Ramadan Syawal RTM di Angkasapuri Kota Media, di sini, semalam berkata, sepanjang bulan puasa nanti dia akan sibuk menguruskan perniagaan yang dijalankan, namun tidak menolak jika mendapat tawaran untuk berlakon jika punya waktu.

“Sepanjang puasa nanti, saya akan sibuk dengan bisnes. Tapi kalau ada tawaran berlakon, saya akan pertimbangkan.

“Tengok dululah. Sebab jadual saya selepas Aidilfitri nanti pun sudah agak padat juga. Saya bakal terlibat dengan sebuah pengambaran filem aksi komedi selepas raya nanti,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI