fbpx

RM300 juta diluluskan untuk selesai isu air Sabah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Sebanyak RM300 juta telah diluluskan secara pinjaman untuk menyelesaikan isu bekalan air di negeri Sabah.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, empat projek baharu telah diluluskan di bawah Rolling Plan Keempat, Rancangan Malaysia Kedua Belas (RP4, RMKe-12) berjumlah RM200 juta bagi penyelesaian jangka pendek isu bekalan air di negeri itu.

“Kementerian juga sedang memohon penyelarasan semula kos kepada Kementerian Ekonomi bagi tambahan peruntukan sebanyak RM100 juta berdasarkan kelulusan Jemaah Menteri.

“Justeru, kementerian akan memastikan projek yang diluluskan dipantau secara berkala dengan mengadakan lawatan kerja dan mesyuarat di tapak oleh agensi yang bertanggungjawab,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata, Kerajaan Negeri Sabah juga telah diluluskan peruntukan sebanyak RM163.55 juta di bawah RP4 bagi projek-projek sambungan.

“Bagi penyelesaian jangka panjang, Kerajaan Negeri Sabah boleh memohon di bawah Rolling Plan akan datang berdasarkan perancangan projek dan keperluan bagi menyelesaikan isu bekalan air di negeri Sabah,” katanya.

Fadillah berkata demikian menjawab soalan Datuk Seri Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) berhubung status bantuan kepada Kerajaan Negeri Sabah dalam penyelesaian jangka pendek dan panjang mengatasi masalah bekalan air.

Sementara itu, Fadillah menjelaskan, bidang kuasa air adalah di bawah kerajaan negeri, manakala tanggungjawab Kerajaan Persekutuan bukan sahaja membantu dalam konteks bekalan air dan melihat sumber tersebut.

“Jadi segala projek berhubung bekalan air di Sabah dan negeri-negeri lain, apa yang disediakan ialah bentuk pinjaman iaitu bantu secara terus atau geran melibatkan penggantian paip.

“Di Sabah ini salah satu cabaran ialah air tidak terhasil (NRW) agak tinggi lebih 50 peratus. Sebab itu kita beri keutamaan ganti paip yang mana secara geran dilaksanakan bersama kerajaan negeri yang diharapkan mengurangkan NRW.

“Dalam masa sama, Sabah juga kena mengambil tindakan mengurangkan NRW khususnya air dicuri dari bekalan air Sabah. Tindakan tegas perlu diambil pihak kerajaan negeri,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI