fbpx
PESAKIT bipolar derita alami kecelaruan mental ketika fasa manik. -GAMBAR HIASAN

Pesakit bipolar rasa teruja melampau, tenaga berlebihan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Penghidap kecelaruan bipolar perlu mendapatkan diagnosis yang betul supaya rawatan yang diterima sesuai dengan simptom yang dialami.

Pengasas bersama MeCare, Nur Areefah Che Ahmad Tantowi berkata, secara amnya, kecela­ruan bipolar adalah satu masalah melibatkan dua perbezaan mood yang melampau iaitu kemurungan atau mania.

“Ramai orang salah faham mengenai kecelaruan bipolar. Ada orang ingat bila pesakit dalam fasa depresi atau murung dia akan sedih dan ketika dalam fasa mania dia akan gembira.

“Sebenarnya, kondisi ini menyebabkan perubahan mood yang melampau terutamanya dari segi tingkah laku dan perasaan,” katanya.
Kosmo! semalam melaporkan ramai kini dirawat ke­rana mempunyai penyakit bipolar dengan menderita masalah kecelaruan mental ketika fasa manik sehingga merasakan dirinya seperti diburu perisik.

Menurut Areefah, orang ramai tidak boleh memandang pesakit sama rata kerana tidak ada dua orang penghidap kecelaruan bipolar dengan gejala yang sama.

“Apabila pesakit dalam fasa depresi, dia akan mempunyai mood yang rendah dan mengalami gejala seperti ke­sedihan berpanjangan, masalah tidur, kurang selera makan atau sukar hendak fokus.

“Pada waktu ini, ramai pesakit yang mengadu badan mereka rasa lesu dan rasa hendak ba­ring sahaja sepanjang hari. Malah, ada juga yang rasa diri tidak berguna dan mempunyai perancangan untuk membunuh diri,” katanya.
Areefah berkata, pesakit bipolar yang dalam fasa mania pula akan mempunyai tenaga berlebihan dan mengalami keterujaan melampau.

“Disebabkan ada tenaga berlebihan dari biasa, mereka mula banyak cakap atau mudah marah.

“Apa yang merisaukan adalah ada yang gemar melakukan aktiviti yang lebih berisiko seperti bawa kereta laju-laju atau berbelanja lebih daripada apa yang mereka mampu,” katanya.

Malah, ada juga yang mempunyai grandiose idea atau satu tanggapan bahawa diri mereka hebat, berkuasa atau mempunyai pengetahuan yang lebih banyak berbanding orang lain.

“Pada waktu ini, keyakinan diri mereka jadi tinggi sampaikan ada yang rasa mereka adalah menteri atau nabi.

“Ada satu kes yang pernah saya jumpa, pesakit sampai turun bertemu rakyat kononnya untuk selesaikan masalah semua orang,” katanya.

Menurut Areefah, pesakit yang belum didiagnosis perlu mendapatkan diagnosis yang betul supaya rawatan yang di­terima sesuai dengan simptom.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN