fbpx

UMNO, BN letak calon sekiranya PRK di enam Parlimen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad Zahid (tengah) melawat ruang pameran pada pameran mini dan penyerahan kit perniagaan NCIA di Dewan Dato' Lope Hashim di Bagan Datuk hari ini. - FOTO/ZULFACHRI ZULKIFLI

BAGAN DATUK – UMNO dan Barisan Nasional (BN) berhasrat meletakkan calon di kesemua enam kerusi Parlimen disandang oleh ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang menyatakan sokongan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Presiden UMNO merangkap Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, ini kerana kesemua enam kerusi disandang wakil Rakyat Bersatu tersebut merupakan kerusi tradisi parti berkenaan.

Bagaimanapun, beliau berkata, langkah meletakkan calon itu bergantung kepada keputusan mahkamah terhadap pindaan perlembagaan parti Bersatu berkaitan pengosongan enam kerusi Parlimen tersebut.

“Kerusi-kerusi itu dahulunya dipegang oleh UMNO, jadi kita akan mengadakan perundingan dengan kepimpinan Kerajaan Perpaduan untuk menentukan jika ada pengosongan kerusi itu.

“Perundingan (dengan kepimpinan Kerajaan Perpaduan) adalah untuk mendapatkan semula kerusi-kerusi tersebut, kita akan beri keutamaan kepada calon-calon UMNO dan BN,” katanya pada sidang akhbar di Dewan Dato’ Lope Hashim di sini hari ini.

Terdahulu, beliau menghadiri pameran mini agensi-agensi pelaksana pembangunan dan penyerahan kit perniagaan Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) kepada para peserta program keusahawanan NCIA di Dewan berkenaan.

Enam Ahli Parlimen yang terlibat itu ialah Datuk Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang), Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Zahari Kechik (Jeli), Mohd. Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan).

Media sebelum ini melaporkan, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan bahawa pindaan Perkara 10 Perlembagaan Bersatu membolehkan enam Ahli Parlimen parti itu yang menyokong Anwar diarahkan untuk mengosongkan kerusi mereka.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid menyifatkan langkah Bersatu meminda perlembagaan mereka untuk mengarahkan Ahli Parlimen mereka mengosongkan kerusi disandang sebagai balasan Allah.

“Saya fikir pindaan yang dibuat oleh parti berkenaan adalah kerana balasan daripada Allah kerana dulu Setiausaha Agung (Bersatu) telah membawa Ahli Parlimen UMNO untuk menyertai parti berkenaan.

“Kini tanpa sebarang usaha pun daripada UMNO dan BN, kita lihat enam orang daripadanya telah bersama menyokong Perdana Menteri dan balasan Allah inilah yang akhirnya kita akan lihat bahawa biarpun mereka berusaha agar Ahli Parlimen partinya mengosongkan kerusi.

“Tetapi tentunya pengosongan ini tak boleh berlaku kerana ia masih tertakluk kepada peraturan Parlimen sendiri dan perlembagaan negara,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI