fbpx

Mushaf al-Huffaz jadi panduan hafazan sistematik pelajar tahfiz

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad Zahid menandatangani plak perasmian pada Majlis Pelancaran Pelaksanaan Mushaf Al-Huffaz dan Perasmian Program Wakaf Al-Quran Peringkat Kebangsaan 2024 sempena Restu Global Quranic Arts Festival (RECAF 2024) di Kompleks Nasyrul Quran, hari ini. -Foto FAIZ ALIF ZUBIR

PUTRAJAYA – Mushaf al-Huffaz akan dijadikan panduan dan standard hafazan secara sistematik bagi semua pelajar tahfiz di seluruh negara termasuk di maahad tahfiz berdaftar dan tidak berdaftar.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, mushaf itu kini sedang ditambah baik dan dinaik taraf malah, ia dijangka siap pada pertengahan Ramadan ini.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, sebaik siap kelak, ia akan diedarkan ke seluruh maahad tahfiz di seluruh negara.

“Ketika ini, sebanyak 1,199 maahad tahfiz berdaftar di seluruh negara yang menempatkan seramai 175,00 pelajar tahfiz. Selain itu, terdapat juga seramai 125,000 pelajar tahfiz di maahad tahfiz tidak berdaftar.

“Ini bermakna, kita ada seramai kira-kira 300,000 pelajar tahfiz di seluruh negara ketika ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Wakaf Peringkat Kebangsaan dan penerbitan Mushaf al-Huffaz di Kompleks Nasyrul Quran, di sini malam tadi.

Katanya, beliau sendiri telah mencadangkan supaya Pengerusi Eksekutif Yayasan Restu, Datuk Abdul Latif Mirasa mengubah suai dan menambah baik mushaf itu.

Ahmad Zahid berkata, beliau yang juga Pengerusi Yayasan Al-Falah bersetuju mewakafkan 50,000 naskhah pertama cetakan mushaf itu kepada maahad tahfiz berkenaan.

“Saya juga menyeru semua pihak supaya dapat menyemarakkan kempen wakaf al-Quran ini termasuk mushaf baharu itu terutama sepanjang Ramadan ini.

“Sementara kita menunggu ketibaan bulan Ramadan 10 hari lagi daripada sekarang maka, eloklah persiapkan diri untuk wakaf al-Quran ini. Insya-Allah tidak akan miskin mana-mana orang mewakaf, menderma atau infaq ke jalan Allah SWT,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI