fbpx

Gas Malaysia, Central Medicare santuni anak yatim dan asnaf

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KAMARUL (duduk, empat dari kiri) bergambar bersama sebahagian penerima bantuan persekolahan dalam Program Back to School di SK Changkat Jong, Teluk Intan hari ini.

TELUK INTAN – Senyuman ternyata terukir pada wajah sebahagian 172 pelajar Sekolah Kebangsaan Changkat Jong di sini apabila menerima bantuan persekolahan dalam Program Back to School dan Menyantuni Anak Yatim & Asnaf anjuran bersama Gas Malaysia Berhad (Gas Malaysia) dan Central Medicare hari ini.

Program tanggungjawab sosial korporat (CSR) itu merupakan yang kali pertama melibatkan dua entiti korporat bagi menyantuni pelajar-pelajar yang terdiri daripada anak yatim serta keluarga asnaf.

Setiap mereka menerima bantuan barang keperluan seperti kasut, pakaian seragam, beg, buku latihan dan alatan tulis bagi memulakan sesi persekolahan pada Mac depan.

Ketua Hal Ehwal Korporat Gas Malaysia. Kamarul Ariffin Ibrahim berkata, program kolaborasi CSR itu merupakan yang pertama diadakan bersama Central Medicare bagi membantu meringankan beban kewangan golongan yang memerlukan.

“Sektor pendidikan merupakan antara empat tonggak utama CSR di bawah Gas Malaysia yang dianjurkan pada setiap tahun selain komuniti, sukan dan persekitaran.

“Kami percaya bahawa setiap kanak-kanak berhak mendapat peluang pendidikan yang berkualiti tanpa mengira latar belakang sosio-ekonomi mereka.

“Program ‘Back To School’ yang diadakan Gas Malaysia dengan Central Medicare ini mencerminkan komitmen kami untuk menyumbang semula kepada komuniti sekali gus memperkasakan generasi akan datang,” katanya di sini hari ini.

Katanya lagi, diharapkan kerjasama Gas Malaysia dan Central Medicare itu dapat membantu pelajar-pelajar kurang berkemampuan untuk memulakan sesi persekolahan yang akan bermula tidak lama lagi.

“Program ini akan diteruskan di sekolah rendah dan menengah lain di negeri lain supaya capaian lebih meluas mereka yang memerlukan mendapat bantuan,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Pegawai Hubungan Hal Ehwal Kerajaan Central Medicare, Mohamad Hisham Mohd. Taufek berkata, sekolah itu akan dijadikan sekolah angkat bagi mereka memperkasa pendidikan terutamanya bagi masyarakat sekitar Changkat Jong.

“Bantuan ini hanya sekadar bantuan, tetapi kejayaan dalam pendidikan bergantung pada murid-murid sekalian,” katanya.

Guru Besar SK Changkat Jong, Dawam Arshad pula berkata, pihaknya bersyukur dengan Gas Malaysia dan Central Medicare kerana sumbangan bantuan persekolahan itu.

“Semoga murid-murid yang menerima bantuan ini terinspirasi untuk belajar dengan bersungguh-sungguh demi membantu negara pada masa depan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI