fbpx

Rujuk MAM sebelum anjur perlumbaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MOKHZANI menggesa mana-mana penganjur untuk merujuk MAM terlebih dahulu sebelum menjalankan aktiviti perlumbaan.

PETALING JAYA – Persatuan Sukan Bermotor Malaysia (MAM) menegaskan sebarang aktiviti perlumbaan yang dianjurkan perlu mendapatkan kelulusan daripada pihaknya terlebih dahulu bagi memastikan syarat-syarat keselamatan dipatuhi.

Presidennya, Tan Sri Mokhzani Mahathir berkata, sebarang penganjuran acara perlumbaan bukan sahaja perlu mendapatkan kelulusan daripada MAM, malah termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan juga Majlis Perbandaran.

Jelas beliau, mana-mana penganjur boleh merujuk kepada MAM bagi mendapatkan pandangan atau kepakaran dalam usaha memastikan setiap perlumbaan yang diadakan benar-benar selamat.

“Bagi saya, ia satu kompromi yang sangat besar sekiranya MAM tidak dirujuk berhubung jaminan keselamatan di mana-mana litar perlumbaan. Kita sudah dapat kerjasama daripada KBS (Kementerian Belia dan Sukan) dalam isu ini.

“Sekiranya ada mana-mana perlumbaan yang akan diadakan di seluruh Malaysia, ia perlu dirujuk kepada MAM bagi memastikan isu-isu keselamatan dapat dipatuhi. Sesiapa yang nak berlumba, sila rujuk MAM dan kami akan berkongsi kepakaran,” katanya selepas majlis makan tengah hari bersama media, di sini hari ini.

September tahun lalu, sukan permotoran negara dikejutkan dengan insiden kemalangan yang menyebabkan kematian seorang pelumba pada Perlumbaan Drag Bike National ET Record Championship 2023 di Pekan, Pahang.

Hasil siasatan mendapati penganjuran perlumbaan itu tidak mendapat kelulusan daripada MAM yang merupakan badan pengelola sukan bermotor di Malaysia.

Dalam perkembangan lain, Mokhzani menganggap langkah Johor Darul Ta’zim (JDT) menubuhkan pasukan JDT Racing bersama bekas pelumba MotoGP negara, Hafizh Syahrin Abdullah sebagai satu perkembangan cukup baik untuk arena sukan permotoran negara.

“Saya pernah komen apabila pasukan JDT mengumumkan perkara tersebut. Apa yang JDT sudah buat untuk pasukan bola sepak, permotoran dan sukan dua roda, ia akan memberi impak cukup hebat buat sukan permotoran.

“Kita kekurangan pasukan-pasukan tempatan yang mampu menyerlah di Malaysia dan rantau ini. Jadi, sikap profesional yang ada pada JDT dalam bola sepak dan JDT Racing memberi peluang kepada mereka untuk menjadi jaguh,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI