fbpx

‘Dunia terasa gelap bila tahu suami jatuh sungai’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Jamaliah ketika ditemui di Jeti Pangkalan Marin JBPM di Mak Mandin, semalam. (Gambar kecil: Mohd. Izwan)

SEBERANG PERAI – Isteri kepada anggota bomba yang dikhuatiri lemas selepas terjatuh ketika menguji enji bot (kevlar) pasukan itu di Jeti Pangkalan Marin, Sungai Perai, Mak Mandin, di sini, berharap suaminya ditemui segera meskipun dalam keadaan sebaliknya.

Jamaliah Abd Majid, 42, berkata, perasaannya mula gelisah sejak malam tadi apabila suami, Mohd. Izwan Illias, 42, langsung tidak menghubunginya seperti kebiasaan.

“Selalunya apabila bekerja syif malam, sudah menjadi rutin dia akan menelefon saya setiap pukul 10 malam untuk bertanyakan keadaan kami sekeluarga di rumah.

“Kira-kira pukul 11 malam tadi, ada anggota datang ke rumah sewa kami di Permatang Pak Maras, Penaga untuk memaklumkan akan kejadian itu.

“Dunia terasa gelap seketika tatkala menerima perkhabaran itu dan saya bersama lima anak kami kemudiannya bergegas ke jeti untuk melihat operasi mencari suami,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Jamaliah berkata, dia menyedari perubahan suaminya yang mula kurang bercakap sejak beberapa minggu lalu selain kurang teruja apabila berbual mengenai persiapan Aidilfitri.

“Dia juga kurang selera makan dan paling saya perasan kelainannya ketika menghantarnya ke kereta sebelum dia bertolak ke tempat kerja. Dia tidak menoleh ke arah saya seperti kebiasaannya, sebaliknya terus berlalu pergi.

“Suami juga pernah berpesan supaya saya berdikari tanpa dirinya atau bantuan orang lain dalam membesarkan lima anak kami yang berusia antara empat sehingga 16 tahun,” katanya.

Sementara itu, bapa mangsa, Illias Othman,77, pula berkata, dia reda dengan ujian yang menimpa mereka sekeluarga.

“Memang panik bila terima perkhabaran itu kerana siapa yang tidak sayang anak, namun kita tidak boleh melawan takdir.

“Saya cuma berharap supaya dia segera ditemui dan semua urusan dapat diselesaikan di hari Jumaat yang mulia ini,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menggunakan empat kaedah dalam operasi mencari seorang anggotanya yang dikhuatiri lemas ketika sedang menguji enjin bot (kevlar) pasukan di Jeti Pangkalan Marin, Mak Mandin di sini, malam tadi.

Ketua Pengarah JBPM, Datuk Nor Hisham Mohammad berkata, jarak pencarian dilakukan satu kilometer ke hilir serta 500 meter ke hulu dari lokasi mangsa yang juga anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Butterworth itu dilaporkan jatuh. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI