fbpx

Doktor mogok berdepan hukuman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kumpulan doktor mengadakan mogok bagi memprotes tambahan pelajar perubatan di Seoul kelmarin. - AFP

SEOUL – Kerajaan Korea Selatan memberi amaran kepada ribuan doktor pelatih yang meletak jawatan dan doktor-doktor terlibat dalam mogok, supaya kembali bekerja dengan segera atau mereka berdepan tindakan undang-undang, lapor laman berita ABC News kelmarin.

Menteri Dalam Negeri dan Keselamatan, Lee Sang-min berkata, kerajaan akan bertindak tegas terhadap doktor yang mogok, selaras dengan undang-undang perubatan dan peraturan lain.

“Tindakan kolektif (meletakkan jawatan) yang boleh menyebabkan kehilangan nyawa dan mengancam keselamatan pesakit tidak boleh dibenarkan atas apa jua sebab,” katanya dalam sidang akhbar kelmarin.

Menteri Kehakiman, Park Sung-jae berkata, jika enggan kembali bekerja, pihak berkuasa akan memfailkan tuduhan undang-undang terhadap doktor-doktor tersebut dan memberkas mereka yang mengetuai mogok itu.

Bagaimanapun, beberapa doktor pelatih berkata, perintah kembali bekerja yang dikeluarkan itu adalah satu bentuk ugutan dan ia mesti ditarik balik dengan serta-merta.

Kira-kira 7,800 doktor pelatih melakukan mogok dalam minggu ini bagi membantah tindakan kerajaan untuk mengambil lebih ramai pelajar perubatan.

Kumpulan tersebut membantah rancangan itu dengan menyatakan bahawa universiti di Korea Selatan masih tidak bersedia untuk menawarkan pendidikan berkualiti kepada ramai pelajar.

Mereka berhujah bahawa rancangan kerajaan untuk mempunyai lebih ramai doktor akan membawa kepada peningkatan perbelanjaan perubatan awam.

Menurut pengkritik, langkah itu akan mengurangkan kadar gaji dan status sosial mereka.

Pegawai-pegawai sebelum ini berkata, kerajaan mahu meningkatkan kuota kemasukan sehingga 2,000 pelajar perubatan baharu bermula tahun depan di universiti-universiti perubatan di seluruh negara bagi menampung populasi Korea Selatan yang semakin tua.

Persatuan Doktor Pelatih Korea Selatan dalam satu kenyataan berkata, kemasukan 2,000 pelajar baharu itu adalah angka yang tidak munasabah.

“Kami berharap kerajaan akan menilai semula rancangannya dan menggubal dasar yang mencerminkan suara doktor pelatih,” kata persatuan itu. 

Lebih 8,800 doktor pelatih meletak jawatan setakat kelmarin, demikian menurut Naib Menteri Kesihatan Kedua Korea Selatan, Park Min-soo.

Tambahnya, pada kelmarin sahaja, 7,813 doktor pelatih tidak hadir bekerja, yang merupakan peningkatan lima kali ganda sejak protes bermula pada hari Isnin, lapor laman berita Wion News.

Ketika protes meningkat kelmarin, hospital-hospital kerajaan di Seoul yang banyak bergantung kepada doktor pelatih untuk rawatan kecemasan dan pembedahan dilaporkan lumpuh.

Pesakit kanser dan wanita hamil yang memerlukan pembedahan terpaksa membatalkan atau menangguhkan prosedur mereka, lapor beberapa media tempatan.

Hampir separuh daripada pembedahan berjadual di lima hospital utama juga dilaporkan telah dibatalkan disebabkan peletakan jawatan itu meskipun tiada yang diluluskan oleh pihak hospital.

Undang-undang perubatan Korea Selatan membenarkan kerajaan mengeluarkan arahan kembali bekerja kepada doktor dan kakitangan perubatan lain apabila terdapat kebimbangan besar mengenai kesihatan awam.

Jika enggan mematuhi perintah itu, mereka boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda 30 juta won (RM107,872). Ia merupakan hukuman yang akan membawa kepada pembatalan lesen perubatan. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI