fbpx

500 pesakit kanser terima rawatan percuma di 7 hospital swasta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Dzulkefly ketika berucap di majlis menandatangani MoU dengan IHH Healthcare Malaysia di ibu negara, hari ini. - Foto oleh MUHAMMAD AMARULLAH / KOSMO!

KUALA LUMPUR – Seramai 500 pesakit kanser dari hospital kerajaan bakal menerima rawatan secara percuma di hospital swasta yang diselia IHH Healthcare Berhad.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, persetujuan itu dicapai dalam Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan IHH Healthcare di sini, hari ini.

Menurut Dzulkefly, pesakit-pesakit ini akan dikenal pasti oleh pakar-pakar KKM yang ditetapkan untuk menerima rawatan di tujuh hospital IHH Malaysia dilengkapi dengan mesin Gamma Knife dan Linear Accelerator (LINAC).

“Dengan MoU yang telah diperbaharui, IHH Malaysia akan menaja rawatan radioterapi dan radiosurgeri bagi tambahan 500 pesakit kanser yang sedang menjalani rawatan di hospital KKM mulai 1 Mac 2024,” katanya ketika berucap di majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan IHH Healthcare di sini, hari ini.

Sebelum ini, IHH Healthcare telah membantu merawat 500 pesakit kanser menggunakan teknologi terkini in dalam MOU terdahulu dengan KKM bagi tempoh 1 Oktober 2022 hingga 29 Februari 2024.

Dalam pada itu, Dzulkefly turut memberitahu, tiga hospital di bawah IHH Healthcare akan terlibat dalam program itu ialah Hospital Pantai, Hospital Gleneagle dan Pusat Perubatan Prince Court.

Beliau juga menjelaskan bahawa MoU tersebut turut menyokong pelan Strategik Kawalan Kanser Kebangsaan (2021-2025) untuk meluaskan akses kepada penjagaan dan rawatan bagi pesakit kanser di negara ini.

Terdahulu, beberapa pakar kesihatan meramalkan penghidap kanser di Malaysia bakal meningkat dua kali ganda menjelang tahun 2040.

Statistik menunjukkan, terdapat kira-kira 48,639 penghidap kanser baharu dan 29,530 kematian akibat kanser dilaporkan pada tahun 2020.

Mengulas mengenai perkara tersebut, Dzulkefly berkata, mengikut laporan Jabatan Perangkaan 2023, kanser adalah punca kematian keempat utama di Malaysia iaitu meningkat daripada 10.5 peratus pada 2021 kepada 12.6 peratus pada 2022.

Katanya, kanser payudara, kanser kolorektal, kanser paru-paru, limfoma dan kanser hati adalah lima teratas dengan jumlah kematian tertinggi dalam tempoh tersebut

“Berdasarkan Fakta Kesihatan Malaysia 2023, kanser menyumbang 26.44 peratus daripada kematian di hospital swasta dan 9.29 peratus di hospital kerajaan.

“Kira-kira 1 dalam 10 orang di Malaysia mungkin didiagnosis dengan kanser sepanjang hayat mereka. Oleh itu, KKM mengutamakan penjagaan kanser untuk memastikan orang ramai menerima penjagaan holistik tepat pada masanya tanpa sebarang kekangan kewangan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI