fbpx

Jangan sesekali bagi muka kepada perokok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BARU-BARU ini, Kementerian Kesihatan (KKM) dilaporkan sedia mempertimbang cadangan untuk menyediakan satu kawasan khas merokok khususnya bagi premis makanan di kawasan sempit.

Tidak dinafikan, pengumuman tersebut membuatkan ramai kecewa, termasuklah penulis sendiri yang mempunyai bapa saudara meninggal dunia baru-baru ini akibat kanser paru-paru.

Apa yang menghairankan, bapa saudara penulis tidak pernah menyentuh sebatangpun rokok sepanjang hidupnya.

Setelah dijejak semula sejarah kehidupan lampau, rupa-rupanya arwah pernah duduk sebilik dengan hampir enam orang rakan-rakan sepengajian yang
semuanya menghisap rokok.

Sebenarnya, ramai yang masih tidak tahu kesan sebenar asap rokok sekunder terhadap kesihatan.

Bagaimanapun, kajian telah membuktikan sebaliknya.

Menurut data data Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat, sejak tahun 1964, hampir 2.5 juta individu tidak merokok meninggal dunia akibat masalah kesihatan yang berpunca daripada pendedahan terhadap asap rokok sekunder.

Justeru, wajarkah kerajaan menyediakan tempat khas untuk para perokok sedangkan mereka yang menderita disebabkan asap tersebut adalah orang lain?

Pakar Perubatan Kesihatan Masyarakat, Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr. Sharifa Ezat Wan Puteh berkata, hanya orang yang mementingkan diri sahaja tergamak untuk merokok di tempat awam.

Menurut beliau, golongan sebegini tidak beretika dan tidak bertanggungjawab, apatah lagi hendak memikirkan tentang keselamatan orang lain.

Tambah Dr. Sharifa, masih ramai perokok yang tidak cakna mengenai kesan asap rokok sekunder yang mengandungi lebih daripada 7,000 bahan kimia dan sesetengahnya bersifat karsinogenik.

“Oleh itu, pembinaan kawasan khas merokok, terutamanya di tempat makan adalah kurang sesuai, lebih-lebih lagi jika kawasan tersebut kecil dan sempit.

“Kesannya, orang yang tidak merokok juga akan terdedah kepada asap rokok sekunder, juga dikenali sebagai secondhand smoke,” ulasnya.
Tambah beliau, orang ramai perlu sedar bahawa belum ada lagi paras selamat bagi pendedahan terhadap asap rokok sekunder.

“Kesan asap rokok sekunder boleh menyebabkan organ jantung terkesan, salur darah mengecut, darah menjadi pekat dan meningkatkan risiko strok sehingga 20 hingga 30 peratus.

“Kaum Hawa paling terkesan dengan pendedahan terhadap asap rokok. Sekiranya terdedah kepada bayi dalam kandungan, ia boleh meningkatkan risiko kelahiran pramatang,” katanya.

Tambah Dr. Sharifa, bayi yang terdedah dengan asap rokok sekunder juga berisiko untuk mengalami sindrom kematian bayi mengejut (SIDS) yang lazimnya berlaku kepada bayi bawah usia satu tahun.

Hakikatnya, jika perokok dibenarkan untuk merokok di tempat awam, semua golongan akan terdedah.

Jangan kita ambil kira ‘perasaan’ dan ‘kemudahan’ para perokok sahaja. Bagaimana pula dengan orang lain yang tidak merokok dan akhirnya menjadi mangsa keadaan selama ini?

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN