fbpx

Tiada negatif tajuk khutbah zakat itu – Abdul Aziz

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Abdul Aziz ketika ditemui pemberita selepas majlis pelancaran tersebut di Shah Alam. FOTO: AFIQ RAZALI/KOSMO!

SHAH ALAM – Topik khutbah Jumaat pada setiap minggu di Selangor dibincangkan oleh jawatankuasa khas dengan huraian yang diutarakan adalah bertepatan mengikut isu semasa.

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof berkata, setiap khutbah itu bertujuan memberi peringatan dan penerangan kepada umat Islam termasuk berkaitan zakat pada minggu lalu.

“Beberapa bulan sebelum ini, ada keluar berita yang agak negatif berkenaan kutipan zakat seperti penyelewengan.

“Walaupun tidak begitu besar di Selangor, namun kita tidak mahu umat Islam yang membayar zakat rasa kurang yakin terhadap Lembaga Zakat Selangor (LZS).

“Itu sebab kita ingatkan semula betapa pentingnya membayar zakat. Hukumnya wajib.

“Saya sendiri maklumkan (kepada LZS) tidak mahu berlaku walaupun satu sen sumbangan zakat itu tidak diisytiharkan,” katanya ketika ditemui selepas pelancaran Kempen Bulan Kesedaran Tunai Fidyah MAIS di sini, hari ini.

Sebelum ini, tular hantaran pelakon Wan Raja mengenai khutbah bertajuk ‘Terima Kasih Pembayar Zakat’ minggu lalu yang tidak mendatangkan ‘feel’ kepada jemaah.

Malah dakwa pelakon tersebut, huraian mengenai kutipan zakat itu sepatutnya dibuat di Parlimen.

Mengulas lanjut, Abdul Aziz berkata, tiada yang negatif berhubung khutbah berkenaan, sebaliknya menyedarkan umat Islam tentang pembayaran zakat.

“Tidak salah kita memberikan peringatan kepada orang Islam dalam masjid atau surau Jumaat. Jadi dengan cara itu, kita yang terlupa boleh ingat semula dan kalau rasa ragu-ragu akan yakin semula.

“Kita hanya mengingatkan sesama sebagai umat Islam,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, setakat ini dianggarkan 1,500 penerima zakat berjaya menukar taraf mereka sebagai pembayar zakat. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI