MAHKAMAH Persekutuan Kuala Lumpur pada 9 Februari lalu mengisytiharkan 16 daripada 18 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 adalah terbatal dan tidak sah.
Panel sembilan hakim yang diketuai oleh Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat dengan keputusan 8-1 itu memutuskan demikian selepas membenarkan petisyen peguam, Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya, Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul
Rahman bagi mencabar peruntukkan enakmen tersebut.
Dengan keputusan itu, Badan Perundangan Negeri Kelantan tidak lagi mempunyai bidang kuasa menggubal 16 peruntukan undang-undang yang dipertikaikan tersebut.
Sejak itu, kecoh di media sosial mengenai perkara tersebut. Rata-rata netizen tidak menyokong keputusan mahkamah tersebut dan menyifatkan ia mencemarkan kesucian agama Islam dan kedudukan Mahkamah Syariah di negara ini.
Bagi mengupas dan mengetahui lebih lanjut mengenai undang-undang syariah di negara ini, wartawan Kosmo Ahad!, SAIRUL ZAMRI
MISRANI berpeluang menemu bual Pensyarah Jabatan Syariah dan Undang-Undang, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, Prof. Madya Dr. Siti Zubaidah Ismail.
KOSMO! AHAD: Pertama sekali, boleh Prof. ulas perbezaan antara undang-undang syariah dan undang-undang sivil. Ini kerana, masih ramai yang keliru mengenai kedua-dua undang-undang ini.
SITI ZUBAIDAH: Dalam konteks negara kita, undang-undang syariah ialah undang-undang yang diluluskan oleh Badan Perundangan Negeri berkaitan hal-hal personal orang Islam. Sementara itu, Mahkamah Syariah sebagai mahkamah bicara jika ada pertikaian.
Undang-undang sivil ialah undang-undang yang diluluskan oleh Parlimen dan dibicarakan di mahkamah sivil.
Undang-undang syariah digubal oleh badan perundangan negeri berdasarkan larangan Allah SWT.
Ada juga pihak menggelarkan undang-undang syariah sebagai kelas kedua. Pada pendapat Prof. adakah undang-undang syariah relevan di negara ini kerana kita hidup berbilang bangsa?
Undang-undang syariah berkaitan dengan hal ehwal orang Islam seperti kekeluargaan, harta, ibadat dan kesalahan terhadap agama sudah semestinya relevan kerana ia hanya untuk orang Islam.
Tiada masalah bagi negara kita atau mana-mana negara pun yang mempunyai komposisi penduduk berbilang bangsa.
Semua perlu saling hormat-menghormati antara satu sama lain.
Tiada istilah undang-undang kelas satu atau kelas kedua. Ini perbahasan yang salah.
Undang-undang syariah adalah undang-undang negeri. Ada skop dan bidang kuasanya yang tersendiri serta berbeza sama sekali daripada skop dan bidang kuasa undang-undang persekutuan.
Kewujudannya juga adalah parallel atau selari dengan undang-undang persekutuan. Ia bukan kelas kedua dan bukan lebihan daripada undang-undang persekutuan.
Ketika ini, terdapat beberapa percanggahan antara undang-undang syariah dan sivil. Misalnya, judi adalah haram untuk umat Islam, manakala dalam undang-undang sivil ia haram jika tidak berlesen. Minta penjelasan mengenai isu ini?
Percanggahan sebenarnya tidak banyak kerana skop dan bidang kuasa kedua-dua undang-undang syariah dan undang sivil sudah ditetapkan oleh Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.
Namun, ada kawasan kelabu (grey area) yang tidak begitu jelas dan kadangkala mencetuskan pertikaian dan perlu kepada pentafsiran.
Judi tetap haram, cuma berbeza dari segi hukuman dan jenis hukuman yang ditentukan kepada perbuatan itu.
Undang-undang syariah adalah berkaitan personal law orang Islam.
Jadi, perbuatan haram itu adalah kesalahan syariah kepada umat Islam.
Sementara itu, Kerajaan Persekutuan pula berusaha untuk membanteras judi yang semakin berleluasa di pelbagai platform.
Disebabkan itu, wajar dilihat semula kedudukan judi itu sama ada yang berlesen atau tanpa lesen.
Baru-baru ini, Mahkamah Persekutuan mengisytiharkan 16 kesalahan syariah dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 adalah terbatal dan tidak sah. Apakah pendapat Prof. mengenai isu ini?
Sama ada suka atau tidak, pada hemat saya, kita perlu menghormati keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Persekutuan.
Tiada guna menyalahkan mana-mana pihak. Ada pengajarannya yang boleh dipelajari oleh pihak berkenaan.
Ia adalah satu keputusan yang dibuat secara bersama oleh lapan orang Hakim Mahkamah Persekutuan dan diketuai oleh Ketua Hakim Negara sendiri.
Sudah pasti pelbagai sudut telah dilihat dan dianalisis.
Semua isu telah dijawab sebelum keputusan itu dibuat.
Walaupun ia pahit untuk ditelan, namun kita perlu terima keputusan Mahkamah Persekutuan bahawa Badan Perundangan Negeri Kelantan telah melangkaui batas bidang kuasanya apabila meluluskan peruntukan yang berada di bawah bidang kuasa Persekutuan.
Saya menyeru semua pihak membaca Alasan Penghakiman yang dikeluarkan bagi memahami dengan lebih lanjut penghakiman kes ini.
Ada pihak yang mengatakan bahawa 16 hukum jenayah syariah itu tidak sesuai kerana mahkamah sivil masih ada dan hukumannya lebih berat. Adakah pendapat ini benar?
Semua 16 peruntukan yang dipertikaikan itu sebenarnya bukan hukuman.
Semua 16 peruntukan kesalahan yang dibuat di bawah Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) 2019 Kelantan itu sebahagiannya merupakan kesalahan-kesalahan yang baru dan tiada persamaan dengan enakmen kesalahan jenayah syariah di negeri-negeri lain.
Ada lapan yang hampir sama pun adalah liwat, sumbang mahram dan muncikari dan sebagainya.
Ini bukan soal sesuai atau tidak, bukan juga soal hukumannya lebih berat jika dibicara di Mahkamah Sivil.
Isunya, 16 kesalahan yang dicabar itu berada di bawah senarai bidang kuasa Persekutuan. Kesalahan-kesalahan berupa kesalahan terhadap masyarakat dan negara (public crime) dan yang ada mangsa.
Lazimnya, ia berada di bawah senarai persekutuan dan terpakai kepada semua tanpa mengira bangsa atau agama.
Pada pendapat Prof., dengan pembatalan 16 enakmen tersebut, adakah terdapat kemungkinan lebih banyak hukuman jenayah syariah akan terbatal selepas ini?
Saya enggan membuat sebarang spekulasi mengenai perkara ini. Sebagai orang Islam, saya harap kita semua menghormati undang-undang syariah yang ada di negara kita.
Jika sesiapa dalam kalangan orang Islam sendiri yang tidak berpuas hati dengan undang-undang syariah, jangan dikecam dan diserang secara terbuka seolah-olah semuanya tidak signifikan.
Maruah agama, undang-undang syariah juga perlu dijaga. Amar ma’ruf nahi munkar adalah tugas bersama.
Caranya adalah dengan membuat cadangan pindaan undang-undang yang menghalang kes sebegini berulang, melobi ahli parlimen dan wakil rakyat kita supaya peka dan cakna, berbincang dengan pemegang taruh dan sebagainya agar pindaan dan pemerkasaan undang-undang syariah dapat dilakukan.
Bukan dengan mencabar keabsahannya di mahkamah kerana mudaratnya kepada reputasi undang-undang syariah lebih banyak berbanding manfaat.
Lagi pula undang-undang ini selepas diluluskan ditandatangani oleh sultan sebagai Ketua Agama Negeri.
Melihat kepada kepincangan ini, apakah usaha-usaha yang boleh dilakukan bagi memastikan undang-undang syariah di negara ini tidak diganggu gugat?
Pada pandangan saya, pindaan Perlembagaan Persekutuan adalah salah satu cara yang boleh dilakukan khususnya dalam mencerahkan kekaburan tentang skop dan bidang kuasa membuat kesalahan oleh Badan Perundangan Negeri.
Ini langkah jangka panjang pada hemat saya.
Pada masa sama, menyelaraskan semua peruntukan kesalahan di bawah enakmen ini antara negeri-negeri.
Walaupun negeri ada Jawatankuasa Pindaan Undang-Undang tersendiri, namun usaha pindaan undang-undang sebaiknya tidak dibuat secara persendirian oleh negeri.
Usaha penyatuan dan penyelarasan di peringkat pusat memerlukan tekad yang bulat untuk kebersamaan dalam mengharungi segala pindaan dan pembaharuan pada undang-undang kesalahan jenayah syariah.
Jika tiga hilang (liwat, sumbang mahram dan muncikari), maka usaha perlu dilakukan untuk tambah kesalahan-kesalahan baharu terhadap agama yang belum ada.
Ada pihak yang mempolitikkan isu ini dengan mengatakan kedudukan Islam dan Mahkamah Syariah di Malaysia semakin terhakis. Adakah kenyataan seperti boleh diterima?
Semua orang bebas mengeluarkan pendapat, namun biarlah pendapat itu diberikan setelah mendapat maklumat yang betul.
Banyak pendapat yang tidak tepat dan bersifat provokatif berlegar dan mempengaruhi pendapat awam, akhirnya semua bercakaran dan berbalah.
Kita perlu memproses semua maklumat diterima dengan mencari informasi yang boleh dipercayai.
Sebagaimana saya sebut di atas, diharap masyarakat kita dapat membaca Alasan Penghakiman yang dibuat oleh Mahkamah Persekutuan bagi menilai sejauh mana benarnya pendapat di atas.
Apakah usaha-usaha yang boleh dilakukan bagi menyampaikan pemahaman kepada masyarakat terutamanya orang Islam mengenai isu yang dihadapi oleh Mahkamah Syariah di negeri-negeri ketika ini?
Saya rasa media massa dan media sosial boleh digunakan untuk menyebarluaskan input-input mengenai undang-undang syariah di Malaysia.
Pun begitu, masyarakat juga perlu rajin mencari maklumat daripada sumber sahih, bukan menerima bulat-bulat apa jua yang dimuat naik dalam media sosial dan dikongsi tanpa usul periksa.















