fbpx

Warga emas berputih mata pelaburan RM1.28 juta lesap

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

JOHOR BAHRU – Sikap tamak seorang warga emas memakan diri apabila kerugian RM1.28 juta akibat terperdaya dengan pelaburan mata wang kripto tidak wujud di media sosial.

Ketua Polis Johor, Komisioner M. Kumar berkata, lelaki berusia 61 tahun itu tampil membuat laporan polis kelmarin setelah mendapat tahu dia menjadi mangsa penipuan.

Beliau berkata, mangsa yang merupakan seorang peniaga telah berhubung dengan seorang individu di aplikasi Whatsapp diarahkan untuk memuat turun aplikasi ‘Accerx’ bagi memantau pelaburan yang dibuat.

“Mangsa telah diarahkan individu berkenaan membuat transaksi pembayaran ke beberapa akaun bank berjumlah RM1.28 juta antara November lalu sehingga bulan lalu,” katanya kepada pemberita semalam.

Kumar berkata, walaupun aplikasi tersebut memaparkan keuntungan lumayan namun
mangsa tidak menerima sebarang keuntungan daripada pelaburan yang dibuat.

Katanya, mangsa tampil membuat laporan polis selepas aplikasi itu tidak dapat lagi diakses.

Sementara itu dalam kes berlainan, beliau memberitahu, seorang lagi warga emas turut mengalami kerugian sebanyak RM390,000 selepas terperdaya dengan pelaburan saham tidak wujud.

Katanya, wanita berusia 65 tahun itu tampil membuat laporan polis semalam selepas tidak menerima sebarang keuntungan daripada pelaburan yang dibuat.

“Mangsa memaklumkan menerima panggilan daripada seorang individu yang menawarkan pelaburan saham dikenali sebagai ‘Fidelity’ dengan menjanjikan 30 peratus keuntungan dari jumlah pelaburan.

“Namun, sejak membuat pembayaran dari November lepas sehingga bulan lalu, mangsa tidak menerima sebarang keuntungan,” katanya.

Kedua-dua kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.-KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI