fbpx

Usaha tidak pernah khianati hasil – Hariz Fayahet

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
HARIZ FAYAHET

TEMPOH enam tahun berkecimpung dalam bidang seni sedikit sebanyak mematangkan perjalanan seni penyanyi bertubuh genit itu berdepan dengan cabaran suara-suara sumbang mengenai dirinya.

Sejak menjuarai pertandingan Bintang RTM 2018, kelibat pemilik nama pentas Hariz Fayahet itu masih samar-samar untuk dikenali sebagai seorang penyanyi.

Hariz sendiri mengakui, gelaran juara yang diraih bukanlah tiket mudah untuk dia meraih populariti.

Walaupun terpaksa menempuhi cerun yang sukar, dia tetap berusaha untuk terus mendaki puncak dan tidak pernah lelah dengan perjuangannya sebagai anak seni.

Kesempatan HibGlam bertemu dengan penyanyi berusia 28 tahun itu pada majlis tayangan episode ke-12 drama Menanti Senja baru-baru ini, mengungkap cabaran dan perjuangan seni dilalui penyanyi berkaca mata itu.

HIBGLAM: Boleh Hariz kongsikan perkembangan kerjaya seni terbaharu anda?

HARIZ: Sejak menjuarai pertandingan Bintang RTM 2018, saya telah keluarkan sebanyak 11 buah single. Terkini, saya hadir dengan single terbaharu yang berjudul Sinar Sunyi dan menjadi runut lagu (OST) untuk drama Menanti Senja, lakonan Johan As’ari dan Trisha Oii yang ditayangkan di TV3.

Sinar Sunyi mengisahkan tentang seseorang yang ingin menyinari kehidupan orang lain, tapi hidup dia sendiri dalam kesunyian.

Lagu ini dicipta oleh komposer, Omar K dan saya sangat teruja untuk menyanyikan lagu ini kerana sudah lama mengimpikan untuk bekerjasama dengan seorang komposer tersohor.

Ia menjadi karya yang menguji kekuatan vokal saya kerana perlu dinyanyikan dengan nada yang tinggi pada bahagian korus. Pertama kali bekerja dengan Omar K, beliau memberi kebebasan kepada saya untuk mengolah semula lagu tersebut dan disampaikan dalam bentuk nyanyian sendiri.

Alhamdulillah, sejak lagu ini dijadikan OST untuk drama menanti senja, ia semakin mendapat tempat di hati pendengar.

Bagaimana anda melihat perjalanan kerjaya seni selepas menjuarai pertandingan Bintang RTM 2018?

Selepas menjuarai Bintang RTM 2018, saya ada memasuki pertandingan lain seperti Dangdut Akademi Asia 2019 di Indonesia dan Lagu Cinta Kita 2021 di TV3.

Sejak memasuki pertandingan Lagu Cinta Kita 2021, saya terus bernaung di bawah label Alternate Records & Talents di bawah pengurusan bakat Media Prima. Saya banyak merakamkan lagu-lagu yang menjadi runut bunyi untuk drama di TV3.

Saya akui, perjalanan seni saya dalam bidang nyanyian agak perlahan sejak menjuarai Bintang RTM 2018. Namun saya tetap gembira kerana setiap tahun saya ada mengeluarkan lagu baharu.

Makin lama, orang makin mengenali dan sedar kewujudan Hariz Fayahet dalam industri. Saya akan cuba dan terus mencuba sehingga orang mengenali saya. Saya tidak pernah terfikir untuk berhenti menyanyi kerana menyanyi adalah minat saya.

Pernah tak terfikir untuk cipta kontroversi sebagai jalan terakhir supaya nama anda lebih dikenali dalam industri?

Tidak pernah. Saya tidak pernah terfikir untuk cipta kontroversi atau buat gimik. Saya tidak pandai untuk melakukan perkara sebegitu.

Saya hanya bersandarkan pada bakat yang ada. Dengan bakat ini (menyanyi), saya akan terus mencuba peluang yang ada untuk memperkenalkan lagi nama saya. Mungkin akan ada pertandingan lain yang saya akan masuk, misalnya seperti Big Stage. Saya akan cuba dan terus mencuba.

Pernah timbul rasa risau jika orang ramai melabel anda sebagai penyanyi ‘pertandingan’?

Terpulang pada masing-masing. Mungkin pendapat mereka betul dan mungkin juga tidak. Kita boleh dengar sahaja, tapi jangan ambil hati.

Kalau rezeki saya di situ (pertandingan), kita teruskan sahajalah. Saya percaya perjalanan seseorang itu berbeza dan telah ditetapkan oleh Tuhan.

Ada yang rezekinya datang lambat dan ada juga diberikan rezeki cepat. Jadi sebagai manusia, apa yang boleh saya lakukan adalah terus berusaha.

Kedengaran agak klise, tetapi itulah hakikatnya. Tapi tipulah kalau saya tidak pernah berkecil hati. Namun saya yakin usaha tidak pernah akan mengkhianati hasil.

Bagaimana awak berdepan dengan komen-komen negatif netizen yang bercakap bukan-bukan tentang anda?

Apabila saya membuat keputusan untuk menjadi penyanyi, saya kena kuatkan mental dan fizikal untuk berdepan dengan cakap-cakap orang.

Mulut orang kita tidak boleh tutup. Benar, saya akan terasa hati, tetapi jangan sampai terbawa-bawa perasaan itu sehingga mengganggu mental kita.

Saya boleh kawal lagi perasaan itu dan jadikan kata-kata hinaan, cacian dan makian tersebut sebagai pembakar semangat untuk saya terus berusaha.

Sebagai anak seni yang masih berusaha untuk menaikkan nama, saya akan terus berjuang. Biarlah, masuk telinga kiri, keluar telinga kanan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI