fbpx
MEMANDU kenderaan elektrik (EV) e-tron GT oleh Audi ini tidak hambar dan membosankan kerana diperhebat dengan bunyi ‘enjin’ tersendiri yang disifatkan penuh kuasa, sporty dan sofistikated.

Bunyi tersendiri ‘enjin’ kereta elektrik e-tron GT

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TREND kenderaan elektrik (EV) semakin meriah di Malaysia selepas kerajaan mengumumkan insentif kepada para pembeli seperti cukai jalan percuma di samping infrastruktur stesen pengecas yang semakin banyak.

Pelbagai model EV yang ditawarkan juga merangkumi segmen kereta, kenderaan utiliti sukan (SUV), van, motosikal dan juga lori.

Dalam segmen kereta, EV terbahagi kepada model biasa, mewah dan berprestasi selain menawarkan jarak perjalanan singkat atau jauh bergantung kepada bateri EV berkenaan.

Baru-baru ini, penulis telah diberi peluang untuk memandu uji sebuah EV dari Audi Malaysia, e-tron GT. Sebelum ini, penulis pernah tulis versi prestasinya dengan tanda nama RS.

Dari segi rekaan luaran, model ini menggunakan lampu utama Matrix LED dengan Audi laser light, kombinasi lampu belakang LED, bumbung karbon dan rim lima batang aerodynamic module style bersaiz 20 inci.

Dari segi ukuran, panjang e-tron GT ini ialah 4,989 milimeter (mm), lebar (1,964mm), tinggi (1,413mm) dan jarak antara roda ialah 2,900mm.

AUDI e-tron GT mempunyai ukuran panjang 4,989mm, tinggi 1,413mm dan jarak antara roda 2,900mm.

EV ini menggunakan sistem suspensi double-wishbone untuk bahagian depan dan multi-link pada bahagian belakang.

Pada bahagian luaran hampir sama dengan varian prestasi RS, cuma yang membezakannya ialah RS miliki rekaan rim berbeza dan tanda nama RS.

Walaupun model ini boleh dikatakan varian asas untuk e-tron GT tetapi untuk pasaran Malaysia, ia hadir dengan pakej Dynamic.

Model ini menggunakan bateri berkapasiti 93.4 kWh dan transmisi dua kelajuan automatik.

Kombinasi itu membolehkan kereta pacuan semua roda ini bergerak sejauh antara 458 hingga 502 kilometer (km). Purata kuasa yang diperlukan untuk bergerak ialah 21.6 kWh.

Kuasa maksimum nadi penggerak e-tron GT ini ialah 476PS dan angka itu akan meningkat sekiranya menggunakan boost mod sehingga 530PS. Tork tertinggi yang dihasilkan ialah 630Nm dan menjadi 640Nm sekiranya menggunakan boost mod.

Atas kertas, pecutan terpantas dari pegun hingga 100 kilometer sejam hanya dalam masa 4.1 saat.

Ruangan dalamannya yang elegan dan sporty dengan rekaan serba gelap.

Masuk ke ruang kabin, memang terasa aura sporty dengan tingkap tanpa bingkai dan penggunaan warna gelap. Papan pemukanya pula nampak ringkas tetapi mudah untuk pemandu mencapai butang-butang fizikal yang disediakan.

Pada bahagian konsol tengah pula terletak butang gear, butang penghidup enjin, tempat untuk mengawal sistem audio dan dua tempat letak air.

Selain itu, ia dilengkapi sistem infotainment dengan ketersambungan Apple CarPlay tanpa wayar serta Audi Connect Navigation, head-up display dan sistem audio premium jenama Bang & Olufsen.

Ciri-ciri keselamatan pula terdiri daripada lapan beg udara keselamatan, Audi presense front and rear, adaptive cruise control dengan kawalan kelajuan,lane departure warning dan front and rear cross traffic assist.

Dari segi pemanduan pula, walaupun ia sebuah EV tetapi perasaan memandunya masih seperti sebuah kereta sport kerana Audi mencipta bunyi tersendiri untuk model ini.

Bagi penulis, bunyi ‘enjin’ ketika memandu ini yang berbunyi penuh kuasa, sporty dan sofistikated dengan tona meninggi dan menurun seiring kelajuan berperanan untuk memberi mod pemanduan agar tidak terasa hambar atau bosan. Nak tau bunyi itu boleh buka di website Audi https://www.audi.com.my/e-tron/e-tron-gt-quattro/fascination.

Hampir seminggu menggunakan kereta ini penulis tidak rasa ‘range anxiety’ dan beberapa kali ulang alik Kuala Lumpur ke Seremban.

Kesimpulannya, untuk mereka yang mampu dan mencari sebuah EV dengan cita rasa supercar anda boleh mencuba model ini. Mana tahu berkenan.
e-tron GT yang menawarkan empat pintu juga sesuai untuk mereka yang sudah berkeluarga. Tempat duduk belakangnya selesa untuk dewasa.

Tidak banyak model yang menawarkan pakej seperti ini lengkap dengan pakej sport, mewah dan juga selesa. Tepuk dada tanya selera!

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN