fbpx
Garisan bahu badan Q7 yang tegap dari depan ke belakang memberikan ilusi panjang dan stabil.

Sofistikated, ilusi panjang Audi Q7 S Line

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SETIAP kali musim Hari Raya Aidilfitri, pengguna jalan raya pasti akan merasai pahit manis suasana pulang berhari raya di kampung halaman mahupun semasa bertandang ke rumah terbuka.

Perjalanan jauh, kesesakan trafik berjam-jam, cuaca panas antara cabaran yang dihadapi, tetapi ramai yang masih bersemangat dan tetap sabar untuk berjumpa keluarga tersayang dan saudara-mara yang lama tidak berjumpa.

Dalam suasana Aidilfitri baru-baru ini, penulis diberi peluang oleh PHS Automotive Malaysia (PHSAM) untuk memandu uji kenderaan utiliti sukan (SUV) mewah buatan Jerman, Audi Q7 S Line.

Audi Q7 sebuah jentera yang bukan sahaja menjanjikan keselesaan tetapi prestasi berkelas tinggi.

Sebaik sahaja enjin dihidupkan, karakter sebenar Q7 terserlah dengan nadi pacuan dikuasakan enjin petrol 3.0-liter Turbo Fuel Stratified (TFSI) V6 yang menjana kuasa maksimum 340PS dan tork 500Nm.

Angka ini bukan sekadar untuk bermegah di atas kertas, tetapi benar-benar terasa di jalan raya. Tekanan pedal minyak yang ringan sudah cukup untuk menggerakkan badan SUV besar ini dengan penuh keyakinan.

Sepanjang musim perayaan, penulis telah memandu uji Q7 untuk perjalanan jauh dari Kuala Lumpur ke Seremban seterusnya ke Bahau di Negeri Sembilan kemudian ke Kuantan, Pahang dan pulang semula ke Kuala Lumpur.

Dalam keadaan trafik yang bergerak perlahan, kesabaran pemandu mula diuji, namun teknologi Q7 memainkan peranan penting melalui sistem Adaptive Cruise Control dan Lane Assist.

Pemanduan terasa lebih santai apabila, kenderaan ini meluncur sendiri mengikut had kelajuan ditetapkan dengan sistem berkenaan selain memberi amaran sekiranya ada objek atau halangan di hadapan.

Adakalanya pemandu berasa mengantuk dan keletihan, Lane Assist memastikan Q7 sentiasa berada dalam lorong jalan ditetapkan dengan notifikasi bunyi amaran apabila jentera mula memasuki laluan pengguna lain.

Dari keadaan pegun, Q7 S Line mampu memecut sehingga 100km/j dalam masa hanya 5.6 saat dan mencapai kelajuan maksimum 250km/j.

Rekaan dalamannya minimalis tetapi tampak eksklusif dengan aspek keselesaan menjadi fokus utama.

Kuasa disalurkan melalui transmisi Tiptronic 8 kelajuan dengan pengagihan pintar ke keempat-empat roda menerusi sistem pacuan semua roda sepanjang masa quattro.

Sepanjang pemanduan, penulis dapat merasakan ‘kehebatan’ jentera ini yang amat tegap dan seimbang apabila memecut melebihi 210km/j di lebuh raya.

Untuk reka bentuk, Q7 tampil dengan pendekatan matang dan sofistikated mencerminkan gabungan kekuatan serta kemaskulinan dalam satu pakej seimbang.

Dalam sesi pandu uji kali ini, penulis memandu Q7 warna Glacier White yang menampakkan aura sporty dan tenang.

Selain itu, warna luaran lain Q7 ialah Waitomo Blue (biru) dan Mythos Black sebagai warna metalik serta Daytona Grey.

Q7 S Line yang dihasilkan secara pemasangan tempatan (CKD) telah dilancarkan secara rasmi pada Mei tahun lalu dengan harga bermula RM459,990 di pasaran iaitu lebih murah berbanding versi import.

Dari hadapan, Q7 membawa identiti Audi yang cukup kuat dengan gril ‘honeycomb’ dan aksen hitam.

Garisan bahu badan Q7 yang tegap dari depan ke belakang memberikan ilusi panjang dan stabil.

Ia diperkemas dengan rim Audi Sport V-Spoke bersaiz 22 inci melengkapkan identiti Q7 S Line sebagai jentera maskulin elegan.

Ruang kabin jentera Q7 ini minimalis tetapi eksklusif dengan aspek keselesaan diberikan fokus utama.

Tempat duduk pemandu dan penumpang yang ergonomik dengan sokongan badan sempurna menjadikan pemanduan terasa lancar dan sempurna.

Kerusi bahagian hadapan Q7 dibalut material kulit Valcona beserta sulaman logo ‘S Line’ memastikan pemandu kekal segar, fokus dan selesa.

Menyentuh soal penjimatan minyak, kapasiti tangki minyak Q7 adalah 85 liter dan boleh mencapai jarak gerak sehingga 720km dengan isian penuh, agak jimat dan lebih penting minyak petrol RON95 boleh digunakan sesuai untuk perjalanan jarak jauh.

Dalam keadaan ekonomi global tidak menentu, subsisidi minyak RON95 oleh kerajaan amat membantu pengguna.

Seterusnya, sistem navigasi Q7 S Line menerusi skrin bersaiz 12.3 inci yang memberi kawalan intuitif di hujung jari anda. Q7 turut hadir dengan paparan head-up (HUD) sebagai ciri standard yang memaparkan kelajuan, mod bantuan pemandu dan arah navigasi pada cermin utama di hadapan pemandu.

Sistem Bunyi Premium 3D Bang & Olufsen yang mengagumkan pula menjanjikan pengalaman audio 3D sebenar yang tiada tandingan melalui 19 unit pembesar suara yang ditempatkan secara strategik di seluruh kabin.

Kesimpulannya, Audi Q7 membuktikan dengan pendekatan yang moden, eksklusif dan minimalis, ia berjaya tampil sebagai sebuah SUV yang bukan sahaja menarik perhatian tetapi kekal releven merentasi masa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN