LEBIH tiga dekad mencanai nama dalam industri seni bahkan sudah berlakon ratusan filem, hampir mustahil jika khalayak tidak mengenali bintang Bollywood yang sudah ‘mendunia’, Suniel Shetty!
Keberkesanan lakonan, tidak kira watak sarat aksi, komedi sehinggalah antagonis, semuanya digalas sempurna sehingga menjadi inspirasi ramai, termasuk anak seni tanah air.
Baru-baru ini, pelakon kacak itu berkunjung ke Kuala Lumpur sebagai tanda sokongan kepada rakan karibnya, seorang pemilik restoran Copper Chimney di Mumbai, India yang kini membuka cawangan di Malaysia bawah nama Copper Grillhouse.
Bukan atas kapasiti duta mahupun wajah kempen, Suniel sebaliknya pelanggan setia yang menyukai semua menu hidangan restoran milik sahabat baiknya itu.
Enggan melepaskan peluang, penulis sempat bersua dengan aktor berusia 62 tahun itu dan bertanya perihal karier, kesihatan dan pendapatnya tentang Malaysia.

Malaysia dekat di hati
Merendah diri selain ramah menjawab soalan disua, aktor yang terkenal dengan filem Dhadkan itu mengakui teruja, malah sering datang ke Malaysia, sama ada untuk bercuti atau menjalani penggambaran filem.
“Setiap kali datang ke sini (Malaysia), perasaan saya sentiasa teruja. ‘Malaysia Truly Asia’, memang itu seringkali disebut dan anda mungkin akan merasai pengalaman manis itu jika benar-benar menghabiskan masa di sini.
“Saya kerap datang ke sini. Malaysia juga antara destinasi kegemaran saya untuk penggambaran filem.
“Waktu saya menjayakan konsert mega G5 di sini suatu ketika dahulu, kebanyakan aktor lain yang turut serta pun turut melalui pengalaman menarik,” ujarnya penuh semangat.
Paling utama kata Suniel, budaya dan sikap murni orang Malaysia yang tidak lokek senyuman, selain peramah menjadi antara faktor dia mudah jatuh cinta dengan Malaysia yang sentiasa dekat di hatinya.
“Awal-awal datang Malaysia, saya terkejut kerana sambutan orang di sini sangat memberangsangkan, sentiasa murah senyuman, ramah bertanya khabar selain menunjukkan sokongan padu.
“Perlu saya akui, Malaysia sentiasa dekat di hati, bermula dengan makanan, budaya dan penduduk negara ini.
“Semua itu menyenangkan dan selesa, sama ada untuk bercuti dan menjalani penggambaran.
“Tambahan pula, ada banyak tempat menarik dan pulau indah untuk diterokai,” tuturnya panjang lebar.

bercuti dan menjalankan penggambaran di Malaysia, Suniel selesa membawa keluarga menerokai pelbagai keindahan alam di seluruh pelosok negara ini.
Jaga badan, jaga makan
Makin berusia makin kacak, itu gambaran tepat buat aktor tinggi lampai yang kini sedang melewati usia 60-an itu.Dia bahkan dikatakan memiliki bentuk badan berotot dan lebih sasa berbanding zaman muda.
Ditanya apakah rahsia awet muda dan tips dalam menjaga bentuk badan, Suniel berkata, selain konsisten bersenam, dia mengira jumlah kalori dalam setiap makanan yang diambilnya.
“Banyakkan bersenam, itu cara saya mengekalkan kesihatan diri saya. Sangat penting untuk menjadi konsisten sama ada dengan membuat latihan senaman atau seimbang dalam pengambilan makanan.
“Kena tahu makanan sesuai dan tidak sesuai untuk diri kita. Semua itu perlu dititikberatkan, mungkin ada makanan yang saya suka tetapi tidak sesuai untuk kesihatan saya dan begitulah sebaliknya, kaji diri kita sendiri.
“Saya cuba sedaya upaya mengawal pengambilan gula dan jarang mengambil makanan berminyak.
“Kebanyakan makanan yang saya makan adalah dipanggang,” jelasnya serius.
Begitupun, bapa kepada dua anak itu mengakui berdepan fasa sukar dan kepayahan menjaga bentuk badan dan kesihatan apatah lagi ketika usia yang bukan lagi muda belia.
“Kadar metabolisme saya sudah semakin menurun. Saya akui memang payah untuk menjaga badan apatah lagi dengan usia yang semakin bertambah dan menua, terasa semua sendi di badan sudah longgar.
“Solusinya, saya mengira jumlah makanan dan masa untuk makan. Selalunya, waktu makan terakhir saya adalah sekitar pukul 6 hingga 6.30 petang.
“Saya menikmati makanan yang seterusnya (pada keesokan harinya) adalah sekitar 12 hingga 15 jam. Saya tidak menggelarnya sebagai Intermittent Fasting (IF), sebab saya tidak cuba melakukannya sebaliknya perkara tersebut berlaku secara semula jadi,” katanya.
Enggan berlama-lama dalam topik kesihatan dan bentuk badan, penulis sempat bertanyakan Suniel mengenai perkembangan terbaharunya dalam dunia lakonan.

metabolisme semakin menurun seiring peningkatan usia, Suniel sedaya upaya menjaga kesihatan dengan menjaga waktu makan dan mengira setiap kalori makanan yang
diambil.
Masih aktif
Mengakui sedang sibuk menjalani penggambaran untuk karya terbaharu selain memenuhi jemputan pelbagai stesen televisyen di India sebagai juri untuk pertandingan nyanyian dan tarian, lelaki bermata bundar itu bersyukur masih aktif dan tetap diterima peminat.
“Saya masih aktif di Bollywood, sekarang saya sedang dalam penggambaran untuk filem baharu tetapi saya tidak boleh dedahkan secara terperinci disini.
“Saya juga ada menjadi juri untuk pertandingan nyanyian dan tarian di sana.
“Syukur masih diterima meskipun sudah ramai pendatang baharu,” ujarnya.
Dalam masa sama, pemilik nama asal Sunil Veerappa Shetty itu meminta peminatnya di Malaysia untuk terus menyokong kariernya serta kerjaya anak terunanya, Ahan Shetty yang sedang mengukir nama dalam industri perfileman Bollywood.
“Teruskan menyokong karier saya, saya sayang rakyat Malaysia, mereka sentiasa menunjukkan kasih sayang berpanjangan kepada saya.
“Selain sokong saya, sokong juga karier anak saya, Ahan yang mungkin bakal meneruskan legasi lakonan saya.
“Apa pun, saya sayang Malaysia,” ujarnya menutup bicara.















