PETALING JAYA – Jenama kasut popular, Converse melancarkan koleksi terbaharunya, De Luxe yang menampil kelainan dalam rekaannya yang memberi aura baharu kepada sipemakainya yang terdiri daripada kumpulan yang suka berfesyen dan juga mereka yang berperwatakan ringkas.
Jenama Converse yang terkenal dengan rekaan terkini, padan dan fleksibel untuk digayakan di mana sahaja itu, menawarkan rekaan terbaharunya iaitu Chuck 70 De Luxe Wedge dengan tiga pilihan warna menarik.
Sebelum ini, syarikat telah memperkenalkan koleksi Chuck 70 De Luxe Heel yang pastinya telah menambat hati peminatnya.

“Kedua-dua rekaan baharu ini telah mengubah stail ikonik jenama Converse kepada rekaan lebih berdimensi dengan ekspresi baharu, tetapi masih mengekalkan DNA pemain bola keranjang terkenal dunia, Chuck Taylor yang begitu sinonim dengan jenama popular itu.
“Bahagian di atas kasut tersebut menampilkan perincian jahitan dan tampalan Converse segi empat tepat dan jalur warna klasik,” jelas kenyataan yang dikeluarkan syarikat di sini semalam.
Pelancaran koleksi De Luxe ini adalah sebahagian daripada siri kasut yang dijayakan bersama rakan usaha sama kreatif yang terdiri daripada dua wanita berpengalaman dalam bidang tersebut iaitu Martine Ali dan Feng Chen Wang.
Setiap seorang rakan usaha sama kreatif itu memainkan peranan yang penting dalam penyediaan dalam membangunkan corak baharu tetapi masih mengekalkan statua quonya serta menjadikan ikonik Chuck Taylor sebagai inspirasi kepada idea kreativiti bagi melahirkan fesyen terkini untuk generasi masa depan.
Bagi peminat koleksi terbaharu ini, ia boleh di dapati di beberapa pusat beli-belah utama di Lembah Klang dan juga di kedai flagship digitalnya. -KOSMO! ONLINE














