PETALING JAYA – Produk energy stick semakin popular dalam kalangan pelajar sekolah kerana dapat memberikan kesegaran dan membantu melegakan selesema, resdung, hidung tersumbat dan mengantuk.
Perkara itu didedahkan sendiri pelajar tingkatan dua yang mahu dikenali sebagai Noh yang mengakui dia mula ketagih menggunakan alat penyedut hidung tersebut kerana melancarkan sistem penafasannya.
“Hidung saya mudah tersumbat jadi rasa tidak selesa. Sehari saya akan sedut (energy stick) tiga hingga empat kali.
“Saya tahu tentang produk ini bulan lalu. Bila melihat maklum balas di media sosial, ramai yang cakap ia bagus untuk merawat masalah seperti saya, jadi saya membelinya pada 10 Januari lalu secara dalam talian.
“Apabila digunakan ia membantu mengurangkan masalah hidung tersumbat, rasa segar, lagipun ada banyak pilihan perisa buah-buahan jadi hidung tidak rasa sakit apabila disedut,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Noh berkata, dia langsung tidak mengetahui risiko penggunaan alat penyedut itu.
“Saya ada baca mengenainya di Facebook. Ada yang beritahu kesannya sama seperti isap vape. Saya pun tak pasti sebab tidak pernah hisap rokok elektronik.
“Bila buat carian di Google, belum jumpa hasil kajian tentang kesan energy stick. Setakat ini belum ada kesan sampingan lagi,” ujarnya.
Bagi pelajar lain, Muhammad Ajmal, 18, dia mengetahui tentang energy stick melalui rakan dan mula menggunakannya sejak tiga bulan lalu bagi menghilangkan mengantuk ketika mengulang kaji pelajaran.
“Tahun ini saya menduduki peperiksaan penting, jadi saya terpaksa berjaga lewat malam untuk mengulang kaji. Bila mengantuk dalam kelas, kawan syorkan guna energy stick. Terasa berangin dan segar bila guna. Setakat ini okey sahaja,” katanya.
Dalam pada itu, seorang bapa, Azrul, 33, berkata, dia terkejut apabila anaknya yang berusia tujuh tahun menunjukkan gambar energy stick di telefon bimbit.
“Dia berminat untuk membeli kerana saiz dan bentuk yang comel. Saya lihat ia mampu menarik minat kanak-kanak kerana berwarna-warni selain pelekat kartun yang digunakan sebagai tarikan untuk melariskan jualan.
“Saya bimbang jika tidak dibendung ia digunakan oleh kanak-kanak, lagipun kita tidak tahu kandungannya,” katanya.
Dalam pada itu, seorang ibu mendakwa terdapat penjual energy stick yang sudah mula berani mengedarkan flyers di luar kawasan sekolah.
Noraini Omar, 51, berkata, anaknya berusia sembilan tahun membawa pulang sekeping flyers yang mempromosikan alat penyedut hidung dengan empat pilihan perisa.
“Anak saya meminta untuk membelikan alat tersebut kerana tertarik dengan perisa selain gambar kartun comel pada bungkusannya,” katanya.














