fbpx
Syakir menunjukkan ikan bandar raya yang berjaya ditangkap sebelum dijadikan hidangan.

Hidangan ‘eksentrik’ ikan bandar raya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEBAIK diajak rakan-rakannya untuk menyertai aktiviti menangkap ikan bandar raya, Muhammad Alif Jumain, 31, tidak berfikir panjang untuk menerima pelawaan tersebut.

Sebagai seorang pempengaruh dan penyedia kandungan media sosial yang aktif dalam menghasilkan kandungan berkisar ikan, dia menganggap pelawaan itu sebagai satu peluang baginya menghasilkan kandungan baharu untuk dikongsi bersama pengikutnya terutama di platform YouTube.

Pertama kali dia menyertai aktiviti menangkap ikan bandar raya ini bersama rakan-rakan ialah sekitar dua tahun lalu dengan menjadikan beberapa sungai sekitar Lembah Klang sebagai lokasi utama.

“Dengan menggunakan jala, kami menangkap sebanyak mungkin ikan bandar raya ini untuk dikeluarkan dari sungai.

“Tujuan utama kami adalah bagi mengurangkan populasi ikan bandar raya di sungai-sungai memandangkan ia merupakan spesies ikan pendatang yang telah memberi ancaman kepada populasi ikan asal di sungai kita,” katanya kepada Panorama.

Jelas Alif lagi, sejak daripada itu, dia dan rakan-rakannya kerap turun ke sungai-sungai di sekitar Lembah Kelang untuk memburu ikan bandar raya sebagai sebahagian daripada kempen mengurangkan populasi spesies ikan ‘pemusnah’ tersebut.

Ikan bandar raya atau nama saintifiknya Hypostomus plecostomus, dan turut dikenali sebagai ikan tombot dalam kalangan nelayan sungai, merupakan spesies ikan air tawar tropika yang berasal dari Amerika Tengah dan Amerika Selatan.

Disebabkan ikan tersebut menjadikan alga sebagai diet utamanya, maka tidak hairanlah apabila ramai pemelihara ikan hiasan di negara ini menjadikannya sebagai ikan pembersih akuarium dan tangki air.

Bagaimanapun, disebabkan sikap tidak bertanggungjawab sesetengah pihak yang membuang ikan bandar raya ke dalam tali air, parit atau sungai, ia telah menyebabkan ikan pendatang tersebut membiak dengan banyak sehingga menjadi ancaman kepada populasi ikan asal yang hidup di sungai-sungai.

Selain itu, rupanya yang agak hodoh serta tanggapan orang ramai bahawa ikan bandar raya merupakan ‘ikan pengotor’ menyebabkan para nelayan sungai dan para pemancing yang terpancingnya akan melepaskan semuanya kembali ke dalam sungai menyebabkan populasinya semakin bertambah dari semasa ke semasa.

Namun, tidak ramai yang tahu bahawa di sebalik rupanya yang hodoh dan sering dianggap ikan buangan, isi ikan bandar raya sebenarnya boleh dimakan dan sesuai untuk dijadikan pelbagai jenis hidangan. Ia boleh dijadikan hidangan ikan bakar, goreng celup tepung dan pekasam.

Ikan bandar raya juga boleh dibakar begitu sahaja bagi proses membuang kulitnya sebelum isinya diambil.

Ia diakui sendiri oleh Mohd. Nor Badri Mat Sidik, 44, yang merupakan salah seorang ahli kumpulan pemancing itu yang turut terlibat dalam memburu ikan bandar raya.

Malah, dia yang sebelum ini berniaga secara kecil-kecilan dengan menjual pekasam ikan tilapia turut tidak menyangka bahawa percubaannya untuk menghasilkan pekasam menggunakan isi ikan bandar raya mendapat sambutan yang baik daripada rakan-rakannya.

“Sebagai seorang pempengaruh dan penyedia kandungan, saya kerap menggunakan akaun di platform media sosial untuk memasarkan ikan pekasam yang saya buat.

“Apa yang paling mengejutkan adalah pekasam ikan bandar raya yang saya baru hasilkan turut mendapat permintaan daripada pelanggan.

“Saya sendiri tidak mengangka bahawa isi ikan bandar raya ini sebenarnya sedap untuk dijadikan pelbagai hidangan sehinggakan saya tidak menang tangan untuk melayan permintaan pelanggan yang ingin membeli pekasam bandaraya.

“Malah, ada satu ketika, saya mendapat permintaan daripada seorang pelanggan dari Sarawak yang ingin mendapatkan pekasam ikan bandar raya yang saya hasilkan untuk diberikan kepada isterinya yang sedang mengidam,” jelasnya.

Dalam pada itu, Mohammad Tabin Syakir Mesman atau mesra disapa Syakir yang merupakan antara ‘tulang belakang’ kepada kumpulan pemancing tersebut berkata, dia dan rakan-rakannya akan meneruskan kempen bagi memperkenalkan ikan bandar raya sebagai salah satu sumber hidangan pilihan ramai.

Malah jelas Syakir, 30, mereka juga telah mengambil langkah proaktif dengan menghantar sampel isi ikan bandar raya untuk diuji di makmal.

Ini kerana menurutnya, ujian klinikal tersebut sangat penting bagi meningkatkan keyakinan orang ramai bahawa ikan bandar raya yang berstatus ikan pendatang itu selamat untuk dimakan.

Katanya, hasil ujian makmal yang dijalankan mendapati kandungan protein dalam isi ikan bandar raya adalah jauh lebih tinggi berbanding ikan keli. Tidak sekadar itu, kandungan merkuri di dalam isi ikan bandar raya juga jauh lebih rendah berbanding beberapa ikan lain termasuk ikan gelama.

“Bagi ikan bandar raya, isinya mengandungi bacaan merkuri 0.05 berbanding ikan gelama yang mempunyai bacaan 68.50 hingga 75.75.

“Malah, ujian makmal juga mendapati isi ikan bandar raya juga mengandungi bacaan ‘cadmium’, ‘copper’, ‘ferum’ dan ‘zink’ yang juga rendah berbanding beberapa ikan lain seperti kembung, sembilang, selar kuning, cencaru, siakap dan ketam bunga yang dijadikan perbandingan dalam ujian.

“Ini membuktikan isi ikan bandaraya sememangnya selamat untuk dimakan, termasuklah telurnya yang juga boleh diolah menjadi pelbagai jenis masakan,” ujarnya.

Menurut Syakir lagi, walaupun usaha untuk mempromosikan ikan bandar raya sebagai hidangan bukan satu perkara yang mudah, namun dia dan rakan-rakannya tidak akan berputus asa.

Tambahan pula katanya, dengan status kesemua mereka yang bergelar penyedia kandungan dan pempengaruh media sosial yang mempunyai pengikut yang tersendiri, ia boleh dijadikan satu ‘tiket’ untuk menggerakkan usaha tersebut.

“Fokus utama kami dalam kempen ini adalah bagi meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai bahaya dan ancaman ikan bandar raya ini terhadap populasi ikan asli yang hidup di sungai-sungai di negara ini.

“Dengan adanya kesedaran ini, mereka yang memelihara ikan bandar raya di dalam akuarium masing-masing tidak lagi membuang ikan tersebut ke dalam sungai, parit atau longkang sesuka hati.

“Pada masa sama, kami juga ingin meningkatkan keyakinan orang ramai terhadap spesies pendatang ini yang selamat untuk dijadikan hidangan, sama seperti ikan-ikan sungai lain.

“Jika hidangan ikan bandar raya semakin popular dan diminati ramai, saya percaya semakin ramai pemancing akan memburu ikan tersebut sama ada untuk dijual atau dijadikan hidangan keluarga,” katanya.

Tambahnya, jika usaha memburu ikan bandar raya semakin meningkat, ia sekali gus dapat mengurangkan populasi ikan pendatang tersebut di dalam sungai-sungai tempatan, sekali gus membantu ikan asli di negara ini untuk terus membiak dengan lebih selamat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN