fbpx

Mardi berjaya hasilkan tiga varieti bawang merah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar penanaman bawang merah oleh Jabatan Pertanian yang dikongsi di laman Facebooknya.

PETALING JAYA – Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) berjaya menghasilkan tiga varieti bawang merah iaitu BAW-1, BAW-2 dan BAW-3.

Susulan itu kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, Jabatan Pertanian (DOA) telah memulakan penanaman Bawang Merah Mardi BAW-1 di kawasan seluas satu hektar di Kuala Bikam, Batang Padang, Perak pada 24 Januari lalu.

“Saya telah mengarahkan Mardi untuk memberikan tumpuan yang lebih serta memantau rapat pertumbuhan dan pengeluaran Bawang Merah Mardi BAW-1 ini.

“Data-data yang diperolehi nanti dapat membantu Kementerian merangka plan penanaman bawang merah tempatan ini secara besar-besaran,”tulisnya di laman Facebook hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata, krisis bekalan bawang yang berlaku pada 2020 akibat bencana banjir besar di India telah mengakibatkan kenaikan harga bawang di pasaran lebih 30 peratus daripada RM6 kepada RM8 sekilogram.

Sementara itu, dalam hantaran terbaharu di Facebook, beliau berkata, kerajaan juga beriltizam mengurangkan kebergantungan kepada import bawang negara dalam tempoh lima tahun.

Kata Mohamad, ia dapat direalisasikan dengan penanaman bawang berskala besar yang sedang dimulakan di daerah Batang Padang, Perak dan Serdang, Selangor oleh DOA.

“Saya mahu DOA terus mencari lokasi-lokasi lain yang bersesuaian untuk menambah keluasan penanaman Bawang Merah Mardi ini bagi penghasilan berskala besar,”ujarnya.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI