fbpx

Inap desa jadi ‘port transit’ PATI digempur

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PATI yang ditahan dalam operasi di inap desa itu.

KUALA SELANGOR – Inap desa di Tanjong Karang di sini yang menjadi rumah transit pendatang asing tanpa izin (PATI) sejak dua bulan lalu berakhir selepas digempur polis malam tadi.

Serbuan Op Pintas kira-kira pukul 9.45 malam itu dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian D3 Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Atipsom) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dengan kerjasama Balai Polis Kuala Selangor.

Ketua Penolong Pengarah D3 Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, operasi itu dilakukan hasil maklumat dan risikan pihaknya mengenai sindiket penyeludupan migran.

Jelas beliau, pihak berjaya menahan 48 warga Indonesia termasuk tiga kanak-kanak berusia enam hingga 51 tahun selain penjaga premis dan tekong darat.

“PATI yang ditahan itu dipercayai membayar wang antara RM1,500 hingga RM3,000 untuk diseludup keluar ke Indonesia.

“Sindiket itu menggunakan taktik membawa migran ke lokasi pelepasan dan bertolak ke negara jiran berkenaan menerusi jalan laut,” katanya hari ini.

Tambah Soffian, siasatan awal mendapati kegiatan sindiket itu aktif sejak Disember tahun lalu.

“Kesemua tangkapan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor bagi tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang Dan Antipenyeludupan Migran 2007 [Akta 670] serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” ujarnya. -KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI