fbpx

ICJ sangkal Russia bedil MH17

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SERPIHAN fiuslaj pesawat MH17 ditemui berhampiran Kampung Hrabove, kira-kira 80 kilometer dari Donetsk, Ukraine pada 25 Julai 2014. – AFP

THE HAGUE, BELANDA –  Panel hakim Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) mendapati Russia melanggar syarat perjanjian antikeganasan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), namun menolak dakwaan Ukraine bahawa Moscow bertanggungjawab menembak jatuh penerbangan Malaysia Airlines MH17 pada 2014.

Akhbar Arab News melaporkan, Russia juga didapati melanggar perjanjian antidiskriminasi selepas  gagal menyokong pengajaran bahasa Ukraine di Semenanjung Crimea selepas Moscow menakluki rantau berkenaan  pada 2014.

ICJ menolak permintaan Ukraine untuk menuntut ganti rugi bagi kedua-dua pelanggaran tersebut, sebaliknya hanya mengarahkan Russia mematuhi peraturan PBB.

Ukraine memfailkan tuntutan di ICJ yang juga dikenali sebagai Mahkamah Dunia pada 2017. Kiev menuduh Russia melanggar perjanjian antikeganasan PBB kerana membiayai pemberontak  pro-Kremlin  di Ukraine.

Hakim ICJ berkata, Moscow melanggar perjanjian antikeganasan PBB kerana gagal  menyiasat dakwaan munasabah bahawa sejumlah dana dihantar dari Russia ke Ukraine bagi membiayai aktiviti keganasan.

Mahkamah sama bagaimanapun enggan membuat keputusan mengenai tragedi MH17. Menurut ICJ,  penyalahgunaan dana itu merangkumi aspek kewangan, dan tiada kaitan dengan aktiviti membekalkan senjata atau latihan seperti  didakwa oleh Ukraine.

Ukraine sebelum ini berhujah bahawa dalam kes MH17, Russia membekalkan sistem peluru berpandu yang digunakan untuk menembak jatuh pesawat itu tetapi Kiev gagal mengaitkannya dengan  bantuan kewangan Moscow kepada puak pemisah pro-Russia di Ukraine.

Dalam perbicaraan mahkamah di The Hague pada Jun tahun lalu, Russia menolak dakwaan Ukraine menyatakan ia membiayai dan mengawal kumpulan pemisah pro-Russia di timur Ukraine. Moscow menyifatkan dakwaan itu sebagai fiksyen dan ‘pembohongan terang-terangan’. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI