fbpx

Mahkamah Sesyen terkhilaf perintahkan Bung Moktar, Zizie bela diri – Mahkamah Tinggi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Zizie dan Bung ketika dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi pada September tahun lalu.

KUALA LUMPUR – Dapatan Mahkamah Tinggi di sini menyatakan Mahkamah Sesyen terkhilaf ketika memerintahkan Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isterinya, Datin Seri Zizie Izette A. Samad membela diri atas tiga pertuduhan menerima rasuah RM2.8 juta dan bersubahat, sembilan tahun lalu.

Ini kerana Hakim Datuk Azhar Abdul Hamid berkata tiada bukti menunjukkan dua saksi utama pendakwaan, Madhi Abdul Hamid dan Norhaili Ahmad Mokhtar memberi rasuah kepada Bung Moktar, 67, melalui Zizie Izette, 47.

Mahkamah Tinggi berpendirian, keputusan itu merupakan salah laksana keadilan terhadap kedua-duanya kerana perintah tersebut tidak selari dengan keterangan kes yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan.

Katanya, selepas meneliti rekod prosiding, mahkamah mendapati tiada bukti menunjukkan kedua-dua saksi pendakwaan ke-24 dan ke-25 itu memberi rasuah kepada Bung Moktar melalui isterinya.

Pada hemat Hakim Azhar, meskipun ketiadaan bukti berhubung rasuah, hakim Mahkamah Sesyen memilih untuk menerima pernyataan saksi kedua-duanya yang direkodkan ketika siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Hakim Mahkamah Sesyen berpendirian, keterangan lisan kedua-dua saksi itu tidak memberi kesan kepada pertuduhan yang dihadapi oleh Bung Moktar dan isteri,” katanya
dalam alasan penghakiman bertarikh 20 April lalu yang diperoleh pihak media hari ini.

Oleh yang demikian, keputusan Mahkamah Sesyen yang mengarahkan mereka membela diri terhadap ketiga-tiga pertuduhan menerima rasuah dan bersubahat, diketepikan.

Mahkamah Tinggi kemudian pada 7 September 2023 membenarkan permohonan Bung Moktar dan isteri untuk menyemak perintah Mahkamah Sesyen selepas memutuskan ia mempunyai bidang kuasa berbuat demikian

Sehubungan itu, Bung Moktar dilepaskan dan dibebaskan daripada tiga pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM2.8 juta manakala Zizie daripada pertuduhan bersubahat.

Susulan keputusan Mahkamah Tinggi itu, pihak pendakwaan yang tidak berpuas hati dengan keputusan itu mengemukakan rayuan di Mahkamah Rayuan yang akan didengar pada 29 Julai ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI