fbpx
LEBUH Raya Pan American merupakan lebuh raya terpanjang di dunia.

Lima lebuh raya terpanjang di dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

APABILA Aidilfitri menjelang tiba, lebuh raya akan menjadi tempat tumpuan orang ramai untuk pulang ke kampung halaman.

Ia membuatkan kita terfikirkan mengenai lebuh raya di seluruh dunia.

Rangkaian lebuh raya di dunia merupakan salah satu keajaiban dalam sektor kejuruteraan bagi menghubungkan bandar, negara dan benua.

Tanpa mengira jarak, lebuh raya cukup signifikan dengan masyarakat yang merantau dan memiliki kenderaan darat sebagai kemudahan mobiliti.

Kewujudan lebuh raya dapat memudahkan urusan perdagangan, pergerakan ketenteraan, dan pertukaran budaya, sekali gus merapatkan masyarakat di seluruh dunia.

Hal ini juga membawa kepada kewujudan lebuh raya terpanjang di dunia yang menjadi antara laluan penghubung terpenting buat manusia.

Kali ini Panorama menyenaraikan lima lebuh raya terpanjang di dunia menurut laporan daripada portal Road Traffic Technology.

 

1. Lebuh Raya Pan American (48,000km)

Lebuh raya Pan American merangkumi keseluruhan sistem lebuh raya antara negeri-negeri di Amerika Syarikat (AS).

Ia merupakan lebuh raya terpanjang di dunia yang meliputi jarak kira-kira 48,000 kilometer (km).

Terdiri daripada lebuh raya yang saling bersambung, ia menghubungkan lebih 20 negara di benua Amerika kecuali laluan 100km yang terletak di antara Panama dan Colombia atau dikenali sebagai Jurang Darién.

Projek lebuh raya yang diilhamkan pada tahun 1923 itu bermula dari Buenos Aires, Argentina ke Edmonton di Amerika Utara.

Bahagian pertama lebuh raya telah disiapkan oleh Mexico pada tahun 1950. Mexico membina dan membiayai sendiri bahagian lebuh raya merentasi negara itu, manakala kawasan Amerika Tengah lain dibiayai oleh AS.

 

LEBUH Raya 1 merupakan salah satu laluan terpenting di Australia.

 

2. Lebuh Raya 1, Australia (14,500km)

Lebuh Raya 1 di Australia merupakan lebuh raya kedua terpanjang di dunia. Ia meliputi jarak 14,500km.

Lebuh Raya 1 telah termaktub sebagai lebuh raya kebangsaan pada tahun 1955.

Ia terdiri daripada jalan tunggal dan berbilang lorong.

Laluan itu melalui semua negeri di Australia kecuali Brisbane dan Darwin yang tidak bersambung secara langsung.

Lebuh raya ini berkongsi sebahagian besar laluannya dengan Lebuh Raya Nasional Australia.

Laluan asal Lebuh Raya 1 yang dicadangkan pada tahun 1955 telah diselaraskan semula pada tahun 1959, 1974 dan 1998. Lebuh raya ini digunakan oleh sejuta orang setiap hari.

 

3. Lebuh Raya Trans-Siberia (11,000km)

Lebuh Raya Trans-Siberia sepanjang 11,000km adalah lebuh raya ketiga terpanjang di dunia. Ia terbentang dari St. Petersburg ke Vladivostok di Russia.

Bahagian laluan yang merangkumi Rangkaian Lebuh Raya Asia dipanggil AH6.

Lebuh raya itu terdiri daripada tujuh lebuh raya persekutuan, di mana ia merangkumi laluan Eropah E30 dan Kazakhstan.

Bahagian terpanjang daripada keseluruhan lebuh raya itu adalah laluan Russia M58 atau Lebuh Raya Amur. Ia merupakan sebuah lebuh raya persekutuan di Russia dengan jarak 2,100km dari Chita ke Khabarovsk.

 

LEBUH Raya Trans-Siberia menghubungkan Asia dengan Russia.

 

4. Lebuh Raya Trans-Kanada (7,821km)

Lebuh Raya Trans-Kanada dengan panjang keseluruhan kira-kira 7,821km adalah lebuh raya keempat terpanjang di dunia dan lebuh raya negara kedua terpanjang.

Pembinaan lebuh raya itu dimulakan pada tahun 1950 dan dirasmikan pada tahun 1962. Namun, kerja-kerja penurapan dan pembinaan lain diteruskan sehingga tahun 1971.

Lebuh raya itu memanjang dari Victoria di British Columbia ke St. John’s City di Newfoundland serta Labrador.

 

5. Rangkaian Lebuh Raya Segi Empat Emas, India (5,846km)

Terdiri daripada laluan yang menghubungkan empat bandar utama India iaitu Delhi, Mumbai, Chennai dan Kolkata, Golden Quadrilateral adalah lebuh raya kelima terpanjang di dunia.

Kerja-kerja perancangan untuk lebuh raya sepanjang 5,846km itu telah siap sepenuhnya pada tahun 1999 dan ia mula digunakan pada Januari 2012.

Lebuh raya itu dibina dengan pelaburan RM43.7 bilion dan diselenggara oleh Pihak Berkuasa Lebuh Raya Kebangsaan India.

Lebuh raya itu mempunyai empat hingga enam lorong di sepanjang keseluruhan laluan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN