fbpx

Gelombang ‘Solat Subuh Macam Jumaat’ perlu diteruskan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Na’im ketika hadir pada program Solat Subuh Macam Jumaat di Masjid Putra, pagi tadi. - Foto oleh FAIZ ALIF ZUBIR / KOSMO!

PUTRAJAYA – Ahli jawatankuasa masjid disaran untuk mempelbagaikan aktiviti bagi mengimarahkan masjid supaya gelombang ‘Solat Subuh Macam Jumaat’ tidak terhenti begitu sahaja.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, pihaknya berhasrat untuk memperluaskan gelombang itu di seluruh negara, namun ia harus disokong oleh pihak masjid.

Beliau berkata, kerajaan sentiasa menyokong dan mengalu-alukan sebarang usaha bagi mengimarahkan masjid.

“Kita nak wujudkan gelombang yang besar (datang ke masjid), kita tak nak one-off sahaja, jadi kita kena pelbagaikan (aktiviti) dan selain solat subuh perlu juga ada program lain seperti berjalan kaki.

“Masjid bukan saja tempat solat tapi tempat untuk kebajikan, pendidikan dan pelbagai aktiviti lain serta kita nak libatkan anak-anak muda dalam program seperti ini supaya masjid akan nampak lebih diimarahkan,” katanya.

Beliau ditemui selepas selesai program Solat Subuh Macam Jumaat di Masjid Putra, di sini pagi tadi yang turut disertai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa.

Program solat subuh itu diadakan sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2024 (HWP 2024) yang disambut hari ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI