fbpx

Xavi akhirnya kibar ‘bendera putih’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GUNDOGAN (depan) gagal membantu Barcelona walaupun meledak satu gol apabila tewas 3-5 kepada Villarreal pada aksi La Liga awal pagi semalam. – AFP

BARCELONA – Pengendali Barcelona, Xavi Hernandez menghadirkan kejutan berganda buat gergasi Sepanyol itu apabila mengambil keputusan untuk meninggalkan pasukannya pada penghujung musim ini.

Berita itu hadir sejurus Barcelona mengalami kekalahan 3-5 kepada Villarreal dalam saingan La Liga di Stadium Camp Nou awal pagi semalam, sekali gus merekodkan kekalahan kelima dalam semua kejohanan musim ini.

“Saya mahu umumkan bahawa saya tidak akan meneruskan khidmat sebagai jurulatih Barcelona selepas 30 Jun nanti. Saya fikir kelab ini memerlukan perubahan dinamik dan saya sudah memaklumkannya kepada Pre­siden kelab, Joan Laporta.

“Saya fikir perkara terbaik adalah meninggalkan kelab selepas 30 Jun, namun saya tetap akan berikan sehabis baik dalam tempoh baki empat bulan ­selepas ini.

“Saya juga merasakan kami akan mengharungi musim yang hebat dan berharap akan ada perubahan dinamik dalam ­pasukan. Saya yakin saya sudah lakukan perkara yang betul,” ­katanya.

Lima gol Villarreal dijaringkan Gerard Moreno, Ilias Akho­mach, Goncalo Guedes, Alexander Sorloth dan Jose Luis Morales, manakala jaringan Barcelona dihasilkan oleh Ilkay Gundogan, Pedri serta jaringan sendiri pemain lawan, Eric Bailly.

Barcelona ketika ini hanya mampu mengutip 44 mata daripada 21 perlawanan La Liga, ketinggalan 10 mata di belakang pendahulu, Real Madrid yang meraih kemenangan 2-1 ke atas Las Palmas kelmarin.

Ketika bergelar pemain sepanjang 17 tahun bersama Barcelona, Xavi melakukan 767 penampilan dan memenangi 25 trofi terma­suk empat kejuaraan Liga Juara-Juara dan lapan piala La Liga.

“Saya fikir sudah tiba masa­nya, tetapi ia bukanlah mengenai soal kewangan. Saya fikir ini adalah perkara terbaik untuk kelab dan saya tidak mahu terus menjadi masalah buat pasukan,” jelas Xavi. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI