SAUDARA PENGARANG,
MEMBENARKAN warga asing berstatus pemegang Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) termasuk dalam sektor pertanian mengusahakan sendiri kebun sayur dengan menyewa tanah milik rakyat tempatan adalah tidak sihat untuk sekuriti makanan negara dalam jangka masa panjang.
Pekerja asing sektor pertanian dibawa masuk supaya menjadi tenaga kerja kepada petani tempatan, namun perkara sebaliknya berlaku apabila mereka menjadi usahawan tani.
Isu warga asing mengusahakan sendiri tanah pertanian mula-mula dilaporkan berlaku di Cameron Highlands, Pahang dan kemudian di negeri-negeri utara iaitu Perak dan Pulau Pinang.
Aktiviti warga asing mengusahakan sendiri kebun sayur ini agak ketara di negeri Selangor menerusi pendedahan mengenai kewujudan kebun sayur diusahakan mereka beberapa lokasi seperti di Sekinchan, Pulau Meranti dan terbaru di Johan Setia, Klang.
Kesan jangka panjang jika perkara ini dibiarkan adalah besar kemungkinan pekerja asing ini tidak akan balik ke negara asal kerana sudah ada pendapatan tetap daripada kebun sayur.
Lambat laun sama seperti sektor perniagaan runcit yang dikuasai warga asing, kebun sayur yang diusahakan warga asing akan meluas sehingga seluruh Semenanjung.
Sekarang sudah ada berita mengenai warga asing terlibat dalam bidang penternakan yang juga berlaku di Selangor.
Dalam hal ini, kerajaan negeri mungkin boleh mengenakan sekatan kepada geran pertanian bagi mengelakkan ia disewa kepada warga asing.
Tindakan juga perlu diambil kepada warga asing yang didapati menceroboh tanah kerajaan untuk dijadikan kebun sayur.
PENDUDUK KECEWA
Kuala Lumpur














