fbpx
NANA ingin mencuba bidang baharu pada masa akan datang termasuk mengacarakan program televisyen.

Nana tak kisah urus bisnes seorang diri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TIADA siapa menyangka siswa kecil molek ini mempunyai bisnes sendiri sebagai seorang usahawan tudung. Malah, keputusan Syazana Romli, 26, untuk mengambil jurusan seni reka bentuk fesyen di peringkat diploma memberi banyak kelebihan kepadanya.

Kini, Syazana atau lebih mesra disapa Nana sedang menyambung pengajian dalam jurusan pengurusan perniagaan di pe­ringkat ijazah bagi menambahkan lagi ilmu usahawan.

Sesuatu yang menarik, wanita kelahiran Kota Bharu, Kelantan ini cukup bertuah apabila wajahnya yang persis pelakon cantik, Nur Fazura sedikit memberi tuah kepadanya untuk lebih dikenali ramai.
Kepada Kosmo! Ahad, Nana berkongsi cabaran dan perjalanannya menjadi seorang pempengaruh dan usahawan.

KOSMO! AHAD: Apa tiga perkataan yang boleh mengambarkan diri Syaza?
NANA: Sebagai anak ketiga daripada empat adik beradik, saya merupakan seorang yang ceria, suka buat hal sendiri dan tidak gemar mengharapkan orang lain.
Dalam erti kata lain, saya seorang yang berdikari. Saya rasa personaliti saya masih sama tidak kira di rumah atau di luar.

Apa yang mendorong Nana untuk mengambil jurusan pe­ngurusan perniagaan?
Saya seorang yang suka mencuba. Ketika diploma, saya mengambil seni reka bentuk fesyen dan selepas itu menyambung pengajian dalam jurusan pengurusan perniagaan kerana minat dalam bidang usahawan.

Apakah perkara yang membuatkan Nana bangga?
Apabila saya berjaya membuka perniagaan sendiri dan menjana pendapatan ketika masih berada di universiti. Saya rasa itu keputusan yang terbaik yang saya lakukan. Rasa puas dapat pegang duit hasil titik peluh sendiri.

Saya mulakan perniagaan menjual tudung rekaan khas saya sendiri iaitu Nana Scarves pada tahun 2019. Meskipun saya rasa sedikit terbeban, saya berjaya menguruskan perniagaan dengan baik.
Sejujurnya, saya menguruskan perniagaan seorang diri. Saya yang menerima pesanan, saya yang membungkus pesanan dan sayalah yang menghantar semua pesanan-pesanan itu.

Apa cita-cita sebenar Nana?
Saya ingin menjadi seorang usahawan wanita. Boleh dikatakan cita-cita saya hampir tercapai tetapi saya rasa saya perlu usaha lebih dan belajar lebih lagi untuk membuatkan perniagaan saya lebih maju. Paling banyak pesanan adalah 100 helai sehari.

Ceritakan perjalanan Nana menjadi pempengaruh?
Saya juga tidak pasti. Tetapi sebelum saya melibatkan diri saya sebagai seorang pempe­ngaruh, saya memang sudah ada bilangan pengikut yang agak ramai di media sosial. Kemudian, ada satu berita tular pada tahun 2017 yang rata-rata mengatakan wajah saya persis pelakon cantik jelita, Nur Fazura.

Berikutan ‘tuah’ itu, lebih ba­nyak lagi syarikat yang menawarkan untuk menjadi model dan saya pernah menjadi duta Fazura. Bahkan, saya juga pernah berlakon di beberapa muzik vi­deo iaitu Tajul – Melamar Rindu, Tuah Adzmi – Insan Kau Cinta dan NOMINOS – Fall In Love.

Apakah bidang lain yang Nana ingin ceburi?
Buat masa ini, saya teringin untuk jadi pengacara televi­syen dan mengacara program. Saya berminat tetapi masih belum mempunyai ilmu yang cukup. Jadi, saya perlu lebih ba­nyak belajar dan mendapatkan peluang dalam bidang ini.

Apa pendapat Nana mengenai netizen dan buli siber?
Kita tidak boleh sewenang wenangnya menghamburkan kritikan kepada orang lain kerana kita tidak tahu apa yang mereka hadapi. Kalau tiada benda baik nak cakap, tak perlu komen.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN