fbpx

114 pelajar cemerlang terima biasiswa Yayasan Angkasa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Luqman bersama ibu bapanya selepas menerima Anugerah Pelajar Cemerlang (Ijazah Kelas Pertama dan Lulus Cemerlang) di Wisma Ungku A. Aziz, di sini, hari ini.

PETALING JAYA – Seramai 114 pelajar cemerlang dari pelbagai institusi pengajian tinggi (IPT) menerima biasiswa Yayasan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) berjumlah RM795,582, di sini, hari ini.

Biasiswa penuh bagi peringkat pengajian Ijazah Sarjana Muda (sepenuh masa) sesi 2023/2024 itu membabitkan 30 pelajar kelas pertama manakala 60 peratus tajaan kepada 84 orang pelajar kelas kedua.

Presidennya, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah berkata seramai 193 orang pelajar menerima pembiayaan Pendidikan Yayasan Angkasa dengan jumlah peruntukkan sebanyak RM2.43 juta.

Beliau yang juga Pengerusi Yayasan Angkasa berkata, 156 pelajar terdiri daripada pelajar sepenuh masa ljazah Sarjana Muda manakala 37 orang mahasiswa lagi melibatkan peringkat pengajian separuh masa bagi Ijazah Sarjana Muda, Ijazah Sarjana (Master) dan Doktor Falsafah (PhD).

“Bermula pada tahun 2000 hingga 2023, seramai 1,699 pelajar telah menerima tajaan, pembiayaan dan biasiswa membabitkan jumlah pembiayaan bernilai lebih RM32.23 juta dan RM11.14 juta biasiswa.

“Pelajar pembiayaan yang mendapat keputusan Ijazah Kelas Pertama ditukarkan kepada biasiswa penuh tanpa caj faedah. Ini bagi menyuntik semangat pelajar baharu supaya belajar bersungguh-sungguh untuk memperoleh anugerah seperti ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Penyerahan Surat Tawaran dan Anugerah Pelajar Cemerlang (Ijazah Kelas Pertama dan Lulus Cemerlang) Pelajar Pembiayaan Pendidikan Yayasan Angkasa Sesi 2023 di sini, hari ini.

Pada majlis sama, penyumbang dana Pendidikan Yayasan Angkasa turut diraikan dengan diberikan cenderahati sebagai tanda penghargaan.

Sementara itu, seorang guru, Luqman Mohd. Yatim berkata, dia tidak menyangka pembiayaan pendidikan Yayasan Angkasa yang diterimanya ketika belajar ditukarkan kepada biasiswa penuh setelah berjaya memperolehi keputusan cemerlang.

Graduan Ijazah Sarjana Muda Kelas Pertama Kimpalan dan Fabrikasi Logam Universiti Tun Hussein Onn ini berkata, dia sangat bersyukur kerana tidak perlu mempunyai komitmen tambahan memandangkan baru sahaja memulakan kariernya pada hujung bulan lalu.

“Pembiayaan pendidikan yang saya dapat sangat membantu menampung yuran pengajian dan kediaman ketika saya belajar. Jadi ketika itu saya hanya perlu cari wang saku sahaja.

“Bila dah habis belajar, saya tak sangka pembiayaan itu ditukarkan kepada biasiswa penuh. Ibu bapa saya terkejut dan gembira dan kami bersyukur sangat atas peluang yang diberikan.

“Alhamdulillah, saya bersyukur sangat-sangat sebab tak perlu ada komitmen tambahan tetapi saya tetap akan menyumbang semula kepada koperasi,” katanya.

Luqman merupakan salah seorang daripada 27 penerima Anugerah Pelajar Cemerlang yang berjaya menukarkan pembiayaan kepada biasiswa penuh tanpa caj faedah serta membawa pulang trofi, wang tunai, selempang serta sijil penghargaan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI