Kalendar jenayah pada tahun 2024 bermula agak ‘panas’.
Apa tidaknya, kes-kes jenayah yang mendapat perhatian rakyat negara ini berjaya diselesaikan dalam tempoh yang singkat.
Mereka yang ditangkap akhirnya telah dituduh di mahkamah.
Antara yang mencuri tumpuan adalah kes pembunuhan kejam ke atas seorang ibu tunggal dua anak bernama Bella di Batu Pahat, Johor.
Anak bongsu daripada dua beradik itu dilaporkan hilang oleh ahli keluarganya pada malam 14 Disember lalu selepas dikatakan keluar bersama teman lelakinya.
Namun, apa yang menyayat hati adalah selepas 38 hari berlalu, keluarga Bella hanya menerima rangka.
Mayat mangsa dikatakan ditinggalkan dalam sebuah rumah terbiar di Batu Pahat kira-kira 12 kilometer dari rumah Bella untuk satu tempoh yang agak lama.
Suspek utama kemudiannya membawa polis ke lokasi berkenaan, namun yang berada di situ cuma rangka.
Lebih zalim, perbuatan tidak berperikemanusiaan itu dipercayai dilakukan individu dikenali dan terdekat dengan mangsa. Individu tersebut sepatutnya melindungi mangsa, namun bertindak kejam atas sebab yang hanya dia ketahui.
Disebabkan kematian itu, dua anak Bella yang masih kecil menjadi yatim. Entah apa yang merasuk jiwa sehingga akal yang waras kalah dan tunduk kepada emosi seketika yang akhirnya memakan diri.
Suspek utama kes itu sudah ditangkap seterusnya dituduh di Mahkamah Majistret Batu Pahat semalam atas kesalahan membunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Jika dilihat kes-kes bunuh yang berlaku sejak kebelakangan ini, manusia hari ini seolah-olah sudah hilang pertimbangan. Hanya kerana kesilapan kecil dan tidak disengajakan, nyawa menjadi taruhan.
Mencabut nyawa orang lain sesuka hati seolah-olah tidak gentar dengan undang-undang yang ada di negara ini.
Mangsa dibunuh tanpa belas ihsan sama seperti yang berlaku ke atas wanita orang kelainan upaya (OKU) yang mati selepas dipukul dan badannya diseterika hanya kerana memarahi anak suspek.
Namun, trauma dan emosi sedih yang ditanggung ahli keluarga mangsa kerana kehilangan orang tersayang dalam kejadian yang cukup tragis berpanjangan mungkin seumur hidup.
Seperti kata kakak Bella: ‘Aku akan tuntut keadilan atas pemergian kau.’
Moga ada sinar sama bagi siasatan kes melibatkan kanak-kanak OKU, adik Zayn Rayyan.
















