fbpx

Lembaga Zakat Kedah sasar kutipan zakat RM300 juta tahun ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Fadzil (tujuh dari kiri) menerima replika cek zakat perniagaan daripada syarikat-syarikat korporat di Menara Zakat, Alor Setar, hari ini.

ALOR SETAR – Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) menyasarkan kutipan zakat sebanyak RM300 juta pada tahun ini berbanding RM277 juta pada tahun lalu.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi) LZNK, Dr. Mohd. Faisal Mustaffa berkata, kutipan zakat pada tahun lalu itu meningkat sebanyak RM25 juta daripada jumlah kutipan tahun sebelumnya.

“Jenis zakat tertinggi yang dikutip pada tahun lalu adalah zakat pendapatan kira-kira RM162 juta diikuti zakat perniagaan RM50 juta, zakat wang simpanan RM26.2 juta, zakat fitrah RM12 juta dan lain-lain RM12 juta.

“Selain itu, zakat padi RM4.3 juta, zakat KWSP RM3.78 juta, zakat emas RM2.89 juta, zakat saham RM1.5 juta, qadha zakat RM569,417, Asnaf Care RM46,573, zakat ternakan RM19,657, zakat perak RM6,142 dan zakat galian RM11.30,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Zakat Perniagaan bersama Syarikat Korporat yang disempurnakan Mufti Kedah, Datuk Syeikh Fadzil Awang di Menara Zakat, di sini hari ini.

Kata beliau, sasaran peningkatan kutipan zakat pada tahun ini adalah berdasarkan keadaan ekonomi yang baik serta jangkaan kenaikan gaji kakitangan awam.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, beliau berkata, LZNK akan turut melibatkan jualan produk usahawan asnaf di sepanjang laluan ke lokasi-lokasi pelancongan di negeri ini sempena Tahun Melawat Kedah 2025.

Katanya, pihaknya menyasarkan sekurang-kurangnya seorang usahawan daripada kalangan asnaf di setiap kariah negeri ini.

“Sebagai contoh, ada usahawan asnaf ini yang terlibat dalam perniagaan kedai makan atau gerai jual air kelapa di laluan pelancongan ini.

“Selain membantu membangunkan usahawan asnaf, usaha ini juga dapat merancakkan lagi Tahun Melawat Kedah 2025 dan menarik lebih ramai pelancong ke Kedah,” katanya.

Kata beliau, pihaknya menyediakan Skim Bantuan Jaya Diri khusus buat asnaf yang mahu menjalankan perniagaan.

“Di bawah skim itu, bantuan adalah daripada segi modal, peralatan, latihan dan rantaian bekalan yang mana kita akan beli kembali produk untuk dijadikan cenderamatan atau cari pelanggan daripada syarikat korporat,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI