fbpx

Tak perlu usung pesakit guna tangga, 11 lif Hospital Melaka dinaik taraf

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
HAMEED (empat dari kiri) menunjukkan isyarat bagus ketika memeriksa keadaan lif baharu yang dinaik taraf di Hospital Melaka. -Foto oleh AMRAN MULUP / KOSMO!

MELAKA – Sebanyak 11 buah lif baharu dengan sistem moden telah dinaik taraf di Hospital Melaka susulan insiden tular pesakit diusung menggunakan tangga apabila kemudahan itu mengalami kerosakan teknikal dalam kejadian, Jun tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, kesemua lif baharu itu telah selesai dipasangkan pada 3 Januari lalu.

Menurutnya, projek tersebut yang melibatkan kos sebanyak RM7.2 juta dilaksanakan bagi memastikan kelancaran operasi harian pusat perubatan berkenaan tanpa perlu berdepan dengan risiko masalah teknikal.

“Paling penting lif ini memudahkan pergerakan pesakit-pesakit dari satu wad ke satu wad lain atau dari wad kecemasan ke wad ICU khususnya di laluan utama.

“Saya harap dengan siapnya 11 lif baharu ini yang menjadi isu sekian lama berkaitan kerosakan lif, kini telah berjaya diselesaikan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Projek Kerja-kerja Menaik Taraf dan Penggantian Sistem Lif di Hospital Melaka, hari ini.

Pada Jun 2023, Kosmo! melaporkan, Jabatan Kesihatan Negeri mengesahkan bahawa insiden membabitkan proses pemindahan pesakit menggunakan tangga seperti yang tular dalam media sosial berlaku di Hospital Melaka.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Ngwe Hee Sem berkata, ia berikutan berlaku kerosakan luar jangka lif di Blok F Hospital Melaka yang menyebabkan akses terhad ke beberapa wad.

Tambah Hameed Mytheen, beliau mengucapkan tahniah kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) yang bertungkus-lumus menyiapkan lif berkenaan lebih awal di samping menjimatkan perbelanjaan sebanyak RM500,000.

Katanya, baki 10 buah lif daripada 21 yang terdapat di Hospital Melaka masih boleh digunakan dan akan diselenggara secara berkala.

“Sebanyak 11 lif yang dinaik taraf ini didapati rosak teruk hingga menjejaskan pergerakan pesakit hingga menjadi isu dan tular di media sosial tahun lalu.

“Lif yang telah dinaik taraf bagi menggantikan lapan unit lif di bangunan baharu, masing-masing satu unit di Blok B, Blok A dan Blok Pentadbiran,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI