fbpx

Dua along dicekup simbah cat merah di rumah peminjam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

KOTA BHARU – Dua ejen pinjaman wang tanpa lesen atau along dicekup selepas dipercayai menyimbah cat merah di rumah peminjam mereka di Wakaf Bharu, Tumpat, dekat sini minggu lalu.

Kedua-dua suspek yang berusia 25 dan 26 tahun itu ditahan selepas polis menjalankan serbuan di dua lokasi berasingan di sebuah rumah di Kampung Padang Bongor dan kedai makan di Padang Garong, di sini kelmarin.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki selepas rumahnya disimbah cat berwarna merah dan satu nota amaran ditinggalkan oleh pihak along yang menyatakan ‘hutang bayar boss, tersangkut hutang boss!’.

Menurutnya, berdasarkan keterangan mangsa, dia pernah meminjam wang sebanyak RM300 melalui aplikasi Mariwang, namun hanya menerima pinjaman sebanyak RM150.

“Mangsa telah membuat bayaran sebanyak RM1,000 melalui aplikasi itu, tetapi pihak along meminta bayaran RM10,000. Lelaki itu tidak mampu membayar jumlah tersebut kemudiannya bertindak memadam aplikasi berkenaan.

“Bertindak atas beberapa kesan cap jari pada rumah mangsa, polis menyerbu ke rumah suspek pertama di Kampung Padang Bongor kira-kira pukul 7.30 malam kelmarin.

“Polis menemui tiga botol berisi cecair disyaki cat merah, satu tin cat berisipadu satu liter, satu jag bersama senduk kayu disyaki digunakan untuk membancuh cat merah dan sepasang kasut warna yang mempunyai kesan tompok merah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Muhamad Zaki memberitahu, bertindak atas maklumat daripada suspek pertama, polis menyerbu sebuah kedai makan di Padang Garong di sini kira-kira pukul 11 malam pada hari yang sama sebelum menahan seorang lelaki.

Menurutnya, polis berjaya menyelesaikan enam kes melibatkan simbah cat di kawasan sekitar Kota Bharu dan Tumpat selepas menahan kedua-dua suspek.

“Siasatan mendapati, suspek pertama menerima upah sebanyak RM250 bagi setiap rumah yang disimbah cat manakala suspek kedua pula RM70 bagi sebuah rumah,” katanya.

Tambahnya,kedua-dua suspek direman selama empat hari bermula semalam untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI