fbpx

Kartunis Pheno meninggal dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Allahyarham Pheno. Foto FACEBOOK PHENO

PETALING JAYA – Kartunis Pheno atau nama penuhnya Muhammad Hassan Ismail, 52, telah meninggal dunia pukul 3.30 pagi tadi akibat serangan jantung.

Allahyarham merupakan penyumbang kartun di Kosmo! menerusi ruangan tetapnya, Cikgu Pencen pada setiap Sabtu, sejak akhbar ini diterbitkan semula pada tahun 2020.

Komik terakhir beliau yang bertajuk Jalan Mati pula, baharu sahaja tamat Jumaat lepas.

Karya terakhir arwah bertajuk Jalan Mati yang disiarkan di akhbar Kosmo Jumaat lalu.

Selain akhbar Kosmo! dan Utusan Malaysia, beliau turut menyumbangkan karya di majalah Gila-Gila dan beberapa majalah humor lain.

Allahyarham yang berasal dari Pulau Pinang dan menetap di Terengganu, pernah dinobatkan sebagai Tokoh Kartunis Terengganu 2021.

Allahyarham meninggalkan seorang isteri dan anak perempuan yang berumur 13 tahun.

Isteri Allahyarham, Siti Nobaya Yusoff, 52, ketika dihubungi berkata, Pheno tidak mempunyai sejarah penyakit jantung kecuali gastrik dan masalah kolesterol sejak hampir lima tahun lalu.

Namun Siti Nobaya berkata, Allahyarham kira-kira pukul 3 pagi tadi, telah mengadu sakit dada selepas selesai menyiapkan karyanya.

“Dia dah siapkan kerja, lepas tu keluar bilik serta mengadu dekat saya ‘pedih’ pada dada’, tapi tak ada cakap sesak nafas atau apa.

“Dia duduk atas kerusi di ruang tamu dan ketika saya ke dapur sekejap, tiba-tiba dengar dia jatuh, lalu bergegas ke arahnya tapi masa tu dia sudah dalam keadaan nazak.

“Saya terus telefon ambulan dari klinik kesihatan berhampiran dan saya ada buat CPR (proses bantuan pernafasan) mengikut arahan yang diberikan pegawai perubatan tapi Allahyarham ketika itu sudah tiada respon.

“Hinggalah pasukan perubatan tiba kemudiannya dan sahkan dia dah tiada,” katanya.

Siti Nobaya memaklumkan, jenazah akan dikebumikan selepas waktu asar, hari ini.

“Jenazah sekarang ni ada di rumah sedang menunggu untuk dimandi dan dikafankan.

“Allahyarham akan dikebumikan selepas waktu asar di Tanah Perkuburan Kampung Tok Jiring, di Kampung Tuan Mandak, Kuala Terengganu,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI