fbpx
Perabot lama dan bungkusan sampah yang dibuang di tepi pintu lif aras 10 sebelum dikutip pekerja pembersihan sebuah flat PPR di George Town, semalam.

Suka sangat buang sampah tepi lif

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GEORGE TOWN – Segelintir penyewa-penyewa Projek Perumahan Rakyat (PPR) di negeri ini dianggap tidak bersyukur apabila sudah mendapat sewa kediaman rendah RM100 sebulan tetapi malas membuang sampah.

Mereka sanggup membuang sampah di tepi lif atau tepi din­ding kerana malas turun dari­pada tingkat atas ke kawasan pembuangan sampah.

Selain sisa dapur penyewa pengotor ini turut membiarkan perabot berat dalam rumah mereka yang sudah rosak di kawasan koridor sehingga mengganggu orang lain.

Seorang penyewa di salah sebuah flat PPR di George Town yang hanya mahu dikenali sebagai Nora, 51, berkata, lokasi koridor berdekatan lif di setiap aras flat 17 tingkat itu boleh diibaratkan sebagai tempat longokkan sampah oleh penyewa-penyewa yang tidak bertanggungjawab.

Akuinya, keadaan menjadi bertambah buruk apabila ada penyewa sanggup membuang perabot-perabot lama, lampin bayi pakai buang, sisa makan di tepi lif setiap tingkat.

“Keadaan ini yang jejaskan pandangan mata serta bau busuk setiap kali kami naik dan turun lif. Sikap penyewa yang malas dan penting diri sanggup membuang sampah ini tidak pernah berubah sejak dulu.

“Malah, ada mereka sanggup upah pekerja pembersihan flat untuk bantu buang sampah di tong yang disediakan di aras bawah. Bagi yang tidak cukup duit, mereka biar saja sampah berterabur di koridor sebelum dikutip pekerja terbabit setiap hari,” jelasnya.

Kelmarin, akhbar Kosmo! melaporkan biarpun sewa bulanan yang dikenakan serendah RM100 sahaja tetapi ramai penyewa unit PPR di seluruh negara masih ­culas untuk membuat bayaran selama bertahun-tahun.

Mereka langsung tidak malu untuk menduduki rumah ber­kenaan secara percuma, malah ada yang mempunyai tunggakan sewa yang tinggi.

Sementara itu, seorang lagi penyewa PPR yang juga mahu dikenali sebagai Hash, 48, mendakwa, perkara lain yang seringkali berbangkit di perumahan ber­kenaan adalah sikap segelintir penyewa yang gemar cop parkir kereta yang disediakan untuk kegunaan semua penyewa.

“Sikap sebegini amat kecewakan kami, yang tidak pernah culas bayar sewa bulanan. Ada segelintir penyewa menjadikan kediaman PPR seperti kondominium. Mereka sanggup letak motosikal di lot parkir kereta setiap kali keluarkan kereta,” jelasnya.

Dalam pada itu di Perak, seorang penduduk, Muhd. Hussin Noh, 53, berkata, selain itu juga, mereka turut berhadapan sikap penduduk yang membela haiwan peliharaan seperti kucing, namun tidak menjaganya dengan baik.

“Ada yang belanya lebih daripada seekor, tetapi tidak jaga dengan baik sehingga berke­liaran di PPR ditambah lagi dengan ­najis di tepi koridor.

“Bau busuk terpaksa dihidu oleh warga Pangsapuri Seri Kepayang, tiada siapa mahu sapu najis berkenaan,” katanya kepada di sini semalam.

Katanya, lif yang rosak akan mengambil masa lama untuk dibaiki oleh pihak berkuasa juga sudah sebati dalam kalangan warga PPR tersebut.

Menurut seorang lagi penduduk, Mohd. Zahidi Jaafar, 27, keadaan itu sekali gus sukarkan pergerakan turun dan naik ke kediaman masing-masing ter­utamanya warga emas.

“Harapan saya adalah pihak berwajib dapat selenggara kemudahan-kemudahan yang ada dan mantaliti pengotor juga perlu dihakis penyewa di PPR,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN