fbpx

Pasangan jatuh Jambatan P. Pinang, pegawai kanan polis disiasat cubaan bunuh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pasangan lelaki dan wanita berjaya diselamatkan orang awam dan nelayan selepas terjatuh dari KM2.8, Jambatan Pulau Pinang.

GEORGE TOWN – Polis Pulau Pinang membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu cubaan membunuh terhadap seorang pegawai kanan polis selepas didakwa menolak rakan wanitanya dari Kilometer 2.8, Jambatan Pulau Pinang, semalam.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 7.45 malam itu, anggota yang bertugas di luar kontinjen negeri ini dan berusia 37 tahun dilaporkan terjatuh ke laut bersama seorang wanita berusia 40 tahun

Menurutnya, pada masa sama, seorang orang awam yang berada di lokasi kejadian bertindak terjun untuk menyelamatkan pasangan terbabit sebelum mereka diselamatkan kumpulan nelayan dan dibawa ke jeti pasukan polis marin di Batu Uban.

“Semakan awal mendapati mangsa lelaki ialah seorang pegawai kanan polis yang berkhidmat di luar Kontinjen Pulau Pinang dan rakan wanitanya pula bekerja di sebuah kilang di Pulau Pinang serta menetap di sini.

“Kedua-dua selamat, dan dipercayai pada masa itu berlaku pertengkaran antara kedua-duanya lalu mereka berhenti di lokasi kejadian, menerusi siasatan awal mangsa wanita mendakwa dia ditolak oleh lelaki tersebut lalu mangsa jatuh bersama,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut di sini, hari ini.

Kok Chin (tengah) menyaksikan serah terima tugas jawatan Ketua Polis Daerah Timur Laut di IPD Timur Laut, hari ini.

Terdahulu, beliau menghadiri majlis serah terima tugas jawatan Ketua Polis Daerah Timur Laut di IPD Timur Laut.

Dalam majlis itu, Kok Chin menyaksikan serah terima tugas jawatan antara Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintendan V. Saravanan dan Asisten Komisioner Razlam Ab. Hamid.

Semalam, Kosmo! Online melaporkan seorang pengguna jalan raya sanggup menggadai nyawa selepas nekad terjun dari Kilometer 2.8, Jambatan Pulau Pinang, menghala ke Perai, dekat sini untuk menyelamat satu pasangan lelaki dan wanita yang terjatuh ke laut, malam tadi.

Menurut Kok Chin, siasatan berhubung kejadian terbabit akan diteruskan dengan mendapatkan keterangan daripada saksi-saksi yang lain.

Katanya, mangsa lelaki masih dirawat hospital kerana mengalami kecederaan pada bahagian kepala dan rakaman percakapan mangsa lelaki itu juga akan diambil.

Dalam pada itu, Kok Chin berkata, berdasarkan siasatan, pegawai kanan polis itu mempunyai satu kes jenayah yang masih dalam siasatan iaitu Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana memukul dalam kejadian di daerah Timur Laut, baru-baru ini. -KOSMO! ONLINE

HABIS//

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

RSS Error: A feed could not be found at `https://www.relevan.com.my/feed`; the status code is `404` and content-type is `text/html; charset=iso-8859-1`