fbpx

6 lelaki guna dokumen palsu kurangkan duti import kereta mewah didenda hingga RM20,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tiga tertuduh yang didenda RM10,000 seorang atas kesalahan menggunakan dokumen palsu di Mahkamah Sesyen Alor Setar, hari ini. - Foto oleh SHAHIR NOORDIN / KOSMO!

ALOR SETAR – Enam lelaki didenda antara RM5,000 hingga RM20,000 di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan menggunakan dokumen palsu bagi mengurangkan duti import kereta mewah jenis Porsche, Bentley dan Ferrari di Langkawi.

Mereka ialah Mohd. Noh Hussain, 47; Mohd. Khairol Suberi; Fairul Ismazi Ishak, 46; Yeoh Ee Tat, 56; Mohd Haiqal Mohd. Sebrie, 33; dan Teh Wei Li, 52.

Hakim Rohatul Akmar Abdullah menjatuhkan hukuman itu selepas kesemua mereka mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan yang dikenakan ke atas mereka.

Mereka didakwa menggunakan dokumen palsu iaitu Surat Akuan dan Borang Kastam Perisytiharan Barang-Barang yang Diimport (K1) di Pejabat Kastam Daerah Langkawi, Langkawi antara Mei 2014 hingga Disember 2021.

Pendakwaan terhadap mereka dilakukan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Tiga daripada mereka iaitu Mohd. Noh, Mohd. Khairol dan Fairul Ismazi membuat pengakuan tersebut pada semalam, manakala tiga lagi iaitu Ee Tat, Mohd Haiqal dan Wei Li mengaku bersalah pada prosiding hari ini.

Mengikut fakta kes, tertuduh didakwa menggunakan surat akuan bagi menyatakan pelanggan mereka menetap di satu alamat di Langkawi lebih setahun.

Ia bagi membuktikan kepada pihak kastam bahawa pelanggan mereka adalah pemastautin di Langkawi untuk mendapatkan pengecualian duti kastam kereta mewah import.

Tertuduh bagaimanapun didakwa mempunyai pengetahuan bahawa pelanggan terbabit bukan pemastautin Langkawi dan tidak layak mendapat pengecualian duti kastam.

Seterusnya, tertuduh menggunakan Borang K1 berdasarkan alamat dinyatakan pada dokumen palsu iaitu surat akuan tersebut untuk berurusan dengan pihak kastam sebelum nilai cukai antara RM299,614 hingga RM1.6 juta dilepaskan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI