fbpx

Konflik Israel-Palestin: Aparteid Israel jauh lebih kejam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TENTERA Israel hanya melihat seorang wanita Palestin rebah ketika orang ramai berbaris di pos pemeriksaan Israel dekat Pekarangan Masjid Al-Aqsa pada Jumaat lalu. -- AFP

ANKARA – Pembunuhan beribu-ribu penduduk awam Pales­tin dan tindakan menggempur Semenanjung Gaza selama berbulan-bulan menyaksikan Rejim Zionis melaksanakan sistem aparteid lebih dahsyat berbanding pelaksanaannya di Afrika Selatan, kata seorang bekas pemimpin Kongres Kebangsaan Afrika seperti laporan agensi berita Anadolu kelmarin.

Andrew Feinstein, 59, yang kini menetap di Britain, berkongsi unsur diskriminasi kaum, penubuhan wilayah berasingan dan penggunaan kekuatan tentera secara kejam untuk menindas penduduk di wilayah Palestin tersebut.

Beliau yang merupakan anak kepada seorang mangsa tragedi Holokaus atau peristiwa pembunuhan beramai-ramai orang Yahudi berkata, Israel tidak bergantung kepada penduduk ­Palestin untuk kestabilan ekonominya.

Menurut Feinstein, keadaan itu tidak sama dengan Afrika Selatan yang amat bergantung kepada penduduk kulit hitam untuk tujuan ekonomi dan tenaga buruh.

“Inilah yang menjadi salah satu punca mengapa Israel berani membunuh puluhan ribu orang awam Palestin yang tidak bersalah.

“Israel tidak mahukan mereka (penduduk Palestin). Ia menjadikan aparteid Israel lebih ganas daripada yang kita pernah lihat di Afrika Selatan,” katanya. Beliau pernah menjadi rakan Presiden kulit hitam pertama Afrika Selatan, mendiang Nelson Mandela.

“Apa yang lebih penting ialah Israel dan Afrika Selatan menggunakan kekuatan tentera secara ganas untuk menindas penduduk yang dilihat lebih rendah tarafnya daripada mereka. Ini adalah sistem dan amalan rasisme.

“Semua persamaan ini jelas membuktikan Israel mengamalkan sistem aparteid. Amalan tersebut jelas berdasarkan undang-undang antarabangsa, Statut Rom,” katanya

Sistem aparteid yang merupakan layanan berbeza kepada penduduk kulit hitam dan kulit putih, dilaksanakan di Afrika Selatan pada tahun 1948 sebelum berakhir pada 1994.

Feinstein berkata, hak penduduk Palestin yang menjadi rakyat Israel dilucutkan pada tahap lebih rendah berbanding warga berbangsa Yahudi.

Ia jelas menunjukkan pencabulan prinsip kesaksamaan hak di bawah undang-undang berdasarkan kaum, etnik dan agama.

Menyentuh strategi rejim kulit putih mewujudkan ‘tanah air kecil’ untuk penduduk kulit hitam di Afrika Selatan semasa era apartheid, Feinstein berkata, tindakan serupa dilakukan Israel yang melakukan pemisahan wilayah di Gaza, Tebing Barat, Hebron dan Ramallah.

Katanya, tindakan Rejim ­Zionis itu adalah bagi menghalang penubuhan dua negara, sama seperti taktik penindasan yang dilaksanakan dalam sistem aparteid.

Beliau juga menjelaskan punca yang mendorong Afrika Selatan memfailkan kes genosid atau penghapusan kaum di Gaza ke atas Israel di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di The Hague, Belanda pada bulan lepas.

“Saya berpendapat, ia merupakan simbolik kerana Afrika Selatan tahu makna sebenar aparteid,” tambahnya.

Feinstein mendedahkan dokumen undang-undang dari Afrika Selatan mengandungi bukti-bukti tindakan tentera Rejim Zionis di wilayah Palestin itu sebagai genosid.

“Jadi, saya berpendapat bahawa adalah amat penting bagi Afrika Selatan membawa kes ini ke ICJ dengan menggambarkan apa yang berlaku di Gaza adalah satu bentuk genosid ke atas penduduk Palestin,” katanya. –AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI