fbpx

Banjir: Kerajaan arah SIRIM hasilkan mesin pam berkuasa tinggi tempatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AHMAD ZAHID (kiri) menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir ketika melawat PPS SK Taman Kota Jaya, Kota Tinggi hari ini.

KOTA TINGGI – Kerajaan mengarahkan Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia Berhad (SIRIM) mengeluarkan mesin pam berkuasa tinggi tempatan untuk digunakan di kawasan yang terlibat banjir.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, inisiatif itu adalah bagi mengatasi masalah kelewatan perolehan mesin pam yang masih belum diterima ketika ini.

“Saya minta SIRIM keluarkan pam air berkuasa tinggi kerana tahun lalu di Kota Tinggi, Segamat dan Batu Pahat sudah luluskan pam-pam kuasa tinggi untuk dibekalkan.

“Oleh kerana pam-pam ini kena beli melalui tatacara pembelian kewangan maka ia belum sampai. Oleh yang demikian saya minta SIRIM keluarkan produk tempatan dengan pam kuasa tinggi, jadi kita tidak perlu lagi import melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melawat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Kota Jaya di sini hari ini. Turut hadir Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, kerajaan turut meminta Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) membuat tempahan sebanyak 20 unit tambahan bagi pam penapis air yang direka SIRIM.

Katanya, hari ini Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) menerima sebanyak tiga pam penapis air yang akan digunakan sebagai pam bergerak di kawasan yang terputus bekalan air.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Bagan Datok itu turut memaklumkan kerajaan menerusi Nadma akan menyegerakan bantuan awal yang membabitkan dana bantuan khas RM50 juta kepada mangsa banjir yang terjejas di negeri ini.

Ujarnya, bantuan itu disalurkan kepada kerajaan negeri untuk diagihkan kepada penduduk yang terkesan bencana banjir.

Sehingga pukul 4 petang hari ini, jumlah mangsa banjir di negeri Johor merekodkan sedikit peningkatan kepada 7,726 yang ditempatkan di 57 pusat pemindahan sementara (PPS) berbanding 7,297 mangsa dicatatkan pada 12 tengah hari tadi.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI