Saudara Pengarang,
Isu kesesakan jalan raya terutama pada waktu puncak bukanlah perkara baharu. Banyak faktor dikenal pasti telah menyumbang kepada berlakunya kesesakan.
Di Kuala Lumpur sendiri, selain jumlah kenderaan yang banyak, kehadiran kenderaan berat pada waktu pagi dan petang turut mengganggu kelancaran lalu lintas selain membahayakan pengguna jalan raya yang lain.
Mengambil contoh laluan dari arah Seremban ke Kuala Lumpur melalui Sungai Besi, kesesakan biasanya akan berlaku pada waktu pagi selepas Plaza Tol Sungai Besi terutama dengan adanya kenderaan berat di jalan raya.
Susulan itu, pihak berkuasa termasuk Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah menggariskan larangan untuk kenderaan berat melebihi 7.5 tan memasuki pusat bandar pada waktu puncak.
Larangan itu bermula dari pukul 6.30 pagi hingga 9.30 pagi dan 4.30 petang hingga 7.30 malam setiap hari.
Bagaimanapun, kurangnya penguatkuasaan telah menjadikan larangan itu seperti ‘tidak wujud’ sehinggakan kenderaan berat dengan mudah memasuki pusat bandar pada waktu yang tidak dibenarkan.
Lebih teruk lagi apabila ada kenderaan berat yang dipandu dengan laju dan berbahaya selain pemandu sesuka hati berhenti di bahu jalan.
Risikonya sangat bahaya kepada penunggang motosikal dan pemandu kenderaan lain.
AWANG
Seremban, Negeri Sembilan














