fbpx

Orang awam alih kon punca tiga motosikal masuk parit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PASUKAN bomba membantu mengeluarkan mangsa yang maut selepas motosikal ditunggang terjatuh ke dalam parit di Jalan Bukit Katil, Melaka.

MELAKA – Nahas tiga motosikal terjatuh ke dalam parit sehingga menyebabkan seorang maut di Jalan Bukit Katil dekat sini, awal pagi tadi dipercayai berpunca daripada tindakan orang awam yang mengalihkan kon keselamatan diletakkan pihak kontraktor.

Dalam nahas kira-kira pukul 6.30 pagi itu, mangsa, Haiqal Iman Mohd. Shahruddin Abdul Qayyum, 21, yang bekerja di sebuah kedai serbaneka maut di lokasi akibat kecederaan parah di kepala.

Dua lagi mangsa, Chong Min Yang, 58, dan Mohd. Zaim Bahrin, 32, masing-masing mengalami luka di kaki serta cedera di kepala dan patah kaki kiri.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, nahas berlaku apabila ketiga-tiga mangsa telah melalui laluan yang ditutup bagi kerja-kerja pembaikan jalan.

Ujarnya, lencongan itu telah ditutup dengan kon keselamatan oleh pihak syarikat Tekad Waja Enterprise, namun penghadang jalan itu telah dialihkan oleh orang awam.

“Mangsa dalam perjalanan dari arah Jabatan Pengangkutan Jalan Bukit Katil ke arah lampu isyarat Hospital Pantai dan setiba di lokasi mereka telah melalui lencongan yang ditutup dengan kon oleh pihak kontraktor.

“Kita percaya semasa kejadian kon itu bagaimanapun telah dialihkan oleh orang awam menyebabkan mangsa tidak nampak kerja-kerja pembaikan dilakukan dan terjatuh ke dalam parit tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut beliau berkata, siasatan pegawai penyiasat di lokasi mendapati permukaan jalan ketika nahas berlaku adalah basah dan laluan mempunyai pencahayaan lampu.

“Setakat ini tiada saksi bebas tampil memberi keterangan lanjut berkaitan kejadian.

“Mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Melaka bagi proses bedah siasat dan siasatan lanjut masih diteruskan di bawah SEK 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI